Penyanyi dan aktres, Erra Fazira menjelaskan dia mempunyai cara tersendiri di dalam menjaga kebebasan serta keselamatan anaknya yang kini meningkat remaja, Engku Aleesya.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek dia mempunyai inisiatif sendiri iaitu saling memantau puterinya itu bersama bekas suaminya, Engku Emran Aleesya ketika dia berada di lokasi awam.
“Saya tidak mengongkong anak, tetapi kalau dia (Aleesya) nak keluar, salah seorang penjaga perlu ada bersama, sama ada saya atau bapanya. Macam contoh mahu lepak bersama kawan-kawan di pusat membeli-belah, saya akan hantar dan berada di situ.
“Tidaklah saya akan turut serta bersama-sama mereka ketika mengisi masa, tapi akan tunggu di kawasan sekitar. Anak saya tidak memiliki telefon sendiri.
“Cuma dalam keadaan yang tertentu, saya akan beri untuk memudahkan komunikasi waktu di luar untuk bertanya perkembangan dan sebagainya. Kena buat begitu, terpaksa.
“Kita sekarang ini dalam dilema antara mahu anak berdikari, tetapi keadaan sekarang yang tidak mengizinkan pada pendapat saya. Beginilah kita boleh beri anak kebebasan, tapi kena juga pantau,” katanya.
Malah situasi tersebut juga mendorong penyanyi lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara ini juga untuk tidak terlalu berkongsi apa sahaja aktiviti di luar waktu kerja.
“Saya bukan sejenis yang suka untuk berkongsi apa sahaja ‘update’ di media sosial.
Apa yang boleh saya nasihatkan, selesaikan dahulu apa yang dilakukan, kemudian barulah kongsi kalau perlu. Tak perlu nak beritahu ‘current situation’ dan sebagainya,” katanya lagi.
Imbas kembali, Erra sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada tahun 2006.
Erra kemudiannya berkahwin kali kedua dengan Engku Emran dan dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya dan kemudiannya bercerai selepas tujuh tahun bersama.
Dalam perkembangan lain, Erra kini berada di kerusi juri program Kilauan Emas 2024 bersama-sama dengan Datuk Hattan dan Roy Azman.
Kilauan Emas 2024 yang memulakan saingan pertamanya Sabtu lalu bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam selama lapan minggu bermula 14 September 2024, setiap Sabtu, jam 9.00 malam menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, aplikasi Astro GO dan sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini