“Anda Berhak, Terima Kasih Banyak,” – Ada Yang Kata Tak Kenal & Tak Layak! Juri ATNM Kelly Azman Beri Respon Pada Netizen

Share

“Bukan layak atau tidak, tapi saya telah diamanahkan untuk berbuat demikian.” Itu kata salah seorang juri All Together Now Malaysia (ATNM), Kelly Azman selepas komennya terhadap prestasi peserta program hiburan berkenaan mendapat reaksi pelbagai penonton.

Membuka tirai saingan pertama ATNM malam tadi, ada yang mendakwa wartawan dan penyanyi itu tidak layak untuk berada berada posisi tersebut bersama 49 orang juri lainnya.

“Apabila sudah dilantik sebagai juri, itu menjadi tanggungjawab. Bukan soal layak atau tidak. Format program tersebut sebegitu dan saya telah diamanahkan untuk berbuat demikian.

“Jadi sudah tentulah saya pun ada pandangan tersendiri selepas melihat persembahan yang telah dibuat.

“Rasanya semua orang boleh beri pendapat. Misalnya netizen di luar sana, mesti anda pun ada pandangan sendiri, sebagaimana anda yang kecam saya sekarang,” katanya.

Kelly atau nama sebenarnya, Raja Azman Raja Ayob juga tidak menolak, peminat generasi baru kurang mengenalinya.

“Mungkin ada yang belum tahu, saya dalam industri dah lama. Sebelum ini saya banyak terlibat dengan kerja di belakang tabir.

“Malah impian untuk jadi penyanyi pun sudah terpendam lama cuma belum ada rezeki pada ketika itu. Sampailah saya diberi peluang untuk menjadi hos dan daripada situlah saya mulai rakam lagu dan sebagainya.

“Secara perlahan-lahan, orang industri makin kenal dan berikan kepercayaan. Tapi saya tak pernah puas untuk terus belajar,”  katanya lagi.

Ditanya mengenai apakah pendiriannya terhadap mereka yang memberi kecaman, Kelly yang pernah muncul menerusi single No No No ini tidak mahu melatah.

“Kenalah tonton sampai peringkat akhir. ATNM baru sahaja memulakan saingannya. Tapi tidak mengapalah, saya hormati dengan apa sahaja kritikan yang diberikan.

“Itu pandangan anda yang berhak untuk berkata apa-apa. Terima kasih banyak-banyak. Yang belum mengenali, salam perkenaalan saya ucapkan,” katanya lagi.

ATNM yang dihoskan oleh Sheryy Al Hadad bersama barisan 50 juri yang diketuai oleh Datuk AC Mizal bersiaran selama 10 minggu setiap Ahad di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Pemenang di peringkat akhir bakal memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

 

Published by
MH