“Anda Pun Bukanlah Sempurna Sangat, Saya Boleh Je Bantai Anda Semula,” – Fathia Latiff

Share

Selebriti kini lebih terdedah dengan kritikan netizen, lebih-lebih lagi dalam perkembangan teknologi kini.

Setiap inci langkah yang diatur selebriti pasti menjadi perhatian.

Begitulah yang dialami pelakon dan penyanyi, Nur Fathia Latiff yang pernah menjadi kritikan netizen sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, Fathia akui kini lebih matang berdepan dengan kecaman netizen.

“Kalau mereka (netizen) boleh cakap, saya pun boleh cakap balik pada mereka juga.

“Anda (netizen) siapa sebenarnya, anda pun bukanlah sempurna sangat. Saya boleh je bantai anda semula. Tak ada masalah pun sebenarnya.

“Tapi tak boleh keterlaluan dan melampaui batas juga,” katanya.

Terdahulu, bintang ini ditemui pada sesi ramah mesra bersamanya di Indigital Music, Damansara Perdana baru-baru ini.

Tetap menghormati orang yang lebih berusia, Fathia yang kini mahu fokus dalam bidang nyanyian mengambil setiap kata-kata netizen ke arah yang positif.

“Saya tengok orang juga, kalau orang itu lebih berusia, saya tahu ia sebagai nasihat dan ia bukan sesuatu untuk menjatuhkan saya, jadi saya hanya dengar dan respek.

“Tapi kalau orang yang jenis kurang ajar dan jika dibandingkan dengan saya, anda tiada apa-apa pun.” tegasnya. 

Memiliki tiga juta pengikut di Instagram, Fathia telah menutup ruangan komen pada setiap gambarnya bagi mengawal dirinya sendiri.

“Sekarang ini saya lebih selesa tutup ruangan komen di Instagram untuk mengawal diri sendiri. 

“Dalam masa sama, sebenarnya bosan juga berbuat demikian (tutup ruangan komen di Instagram), tetapi demi kerja. Apa-apa yang melibatkan kerja, saya akan berkongsi di Instagram,” jelasnya. 

Dalam perkembangan lain, Fathia baru sahaja melancarkan album kedua, berjudul Jika Aku Tahu hasil ciptaan Fathia sendiri dan rakannya, Sharifah Faezah Al-Attas.

Published by
Amynur Akmal