“Andai Kata Saya Tiada Lagi Nanti…,” – Hairul Azreen Umum Berhenti Berlakon, Jelaskan Sebabnya

Share

Aktor terkenal, Hairul Azreen membuat pengumuman mengejutkan selepas memutuskan untuk berhenti berlakon.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Hairul sewaktu menjadi tetamu undangan di program radio, 3 Pagi Era pada Isnin.

Jelas Hairul, dia sudah pun menceburi pelbagai bidang di dalam dunia lakonan dan kini dia merasakan waktu yang terbaik untuk berhenti daripada kerjaya yang dicintainya itu.

“Saya Hairul Azreen nak mengumumkan yang saya berhenti berlakon. Saya dah buat semua benda dah. Saya bermula sebagai seorang stuntman, pelakon filem dan saya berdoa untuk menjadi hero filem dan Allah makbulkan.

“Sekarang saya dah pun menjadi action hero filem. Filem saya seperti Paskal telah menyumbang peratusan orang menjadi tentera.

“Filem Malbatt ini InsyaAllah menjadi filem terakhir saya sebagai anggota tentera sebagai pelakon.

“Saya tak nak jadi manusia yang tak reti bersyukur. Perjuangan saya ini biarlah berakhir dengan satu filem yang membanggakan saya,” umumnya.

Pada masa sama, suami kepada pelakon, Hanis Zalikha ini turut memberitahu yang dirinya kini mahu memberikan sepenuh tumpuan keluarga.

“Saya masih lagi aktif di media sosial cuma saya sudah tak nak berlakon. Antara sebabnya, ada orang yang tak sempat nak tengok mak ayah dia kerana sibuk dengan kerja.

“Ada orang tak sempat nak tengok anak-anak membesar. Saya ni alhamdulilah, mak masih ada. Saya pun pernah dengar Radin punya cerita.

“Bila saya berlakon filem, saya perlukan enam bulan. Saya buat badan, seminggu enam kali. Pagi petang dan malam. Tahu-tahu anak saya dah besar dan bersekolah. Saya tak sempat nak merasai benda itu,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hairul turut menyifatkan diriny sudah puas dengan segala yang dikecapinya sepanjang bergelar anak seni.

“Jadi, saya dah rasa cukup dan puas dengan apa yang saya buat. Hanis setuju dengan keputusan saya ini dan dia juga sudah lama tak berlakon.

“Kami akan berikan fokus terhadap bisnes. Sudah lama saya fikirkan keputusan ini dan kerana itu saya sentiasa berikan yang terbaik dalam filem-filem aksi saya.

“Biarlah orang-orang di Malaysia ini dapat menghargai pengorbanan pelakon-pelakon tempatan. Macam-macam kami lalui. Banyak anggota badan saya patah untuk orang hargai filem kita,” katanya lagi.

Sementara itu, bapa kepada dua orang cahaya mata ini turut berharap agar karya-karyanya itu akan dikenang sehingga akhir hayatnya.

“Saya harap orang kita bangga dengan tentera kita. Itu harapan saya andai kata saya tiada lagi nanti.

“Saya ada berlakon filem arahan Syamsul Yusof yang dijadulakan keluar tahun hadapan. Selepas itu saya berhenti for good,” akhirinya.

Sekadar informasi, Hairul memulakan kerjayanya sebagai pelakon menerusi drama Rona Roni Makaroni pada tahun 2008.

Manakala, debut filem pula bermula pada tahun 2011 menerusi filem Senario The Movie Ops Pocot.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Hairul Azreen & Era FM

Published by
Aizam Manaf