“Andai Kata Tak Mampu Lagi, Mungkin Saya…,” – Kerap Nyanyi Nada Tinggi, Azlan Sedia Hadapi Segala Kemungkinan

Share

Penyanyi, Azlan sememangnya terkenal dengan kemampuannya untuk menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi.

Bagaimanapun, Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle Sallehudin akui dia kini sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan mengenai keadaan kotak suaranya itu.

“Saya tak tolak kemungkinan apabila kerap menyanyi dengan key yang tinggi ini, mungkin akan mendatangkan kesan di kemudian hari. Usia pun semakin meningkat, masalah itu mungkin akan ada.

“Andai kata saya tak mampu lagi, mungkin saya akan plan strategi lain seperti turunkan key atau beri fokus pada cabang lain seperti penciptaan lagu, menjadi komposer atau menerbitkan program tv. Segalanya masih berkait dalam bidang seni juga.

“Saya tidak meletakkan sasaran bila akan berhenti menyanyi. Saya berserah sahaja kepada Allah. Selagi dia beri izin saya akan teruskan. Suara ni pun bukan hak kita. Selagi boleh, teruskan sahaja. Ambil contoh Datuk Awie, dia steady je,” katanya kepada MH.

Vokalist band Azlan & The Typewriter ini berkata sedemikian ketika ditemuramah pada majlis berbuka puasa Indigital Music yang berlangsung di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Azlan turut menambah, meskipun keadaan semasa industri muzik agak tidak menentu namun, dia bertekad untuk terus berusaha demi masa depan dirinya dan keluarga.

“Muzik ini satu persekitaran yang tidak menentu dan tidak boleh dijangka. Hari ini mungkin orang suka muzik seperti ini, esok lusa muzik lain pula. Peredaran muzik ini terlalu laju dan drastik. Sebagai komposer, saya kena sentiasa peka. 

“Kita kena bersedia dengan segala kemungkinan. Saya ada keluarga. Nak tak nak tetap kena fikir juga untuk masa depan.

“Rata-rata yang terlibat dalam bidang seni ada perasaan bimbang dengan masa depan. Ditambah pula dengan dengan keadaan industri ketika pasca pandemik ini. Apapun, kita lawan dan teruskan sahaja.

Dalam pada itu, Azlan akui berasa amat bersyukur selepas lagu Jangan Khianati Aku telah berjaya meraih Anugerah Platinum selepas merekodkan hasil jualan melebihi RM300,000.

Jelasnya lagi, keputusannya untuk membuat lagu mengikut citarasa pendengar ternyata mendapat sambutan yang luar biasa.

“Saya sendiri tak menyangka untuk mendapat anugerah platinum ini. Mungkin sebelum ini saya banyak membuat experimen untuk muzik-muzik bagi kepuasan saya sendiri dan membuatkan orang susah nak faham. 

“Bila saya mula buat lagu mengikut trend dan citarasa pendengar, dapat pula penganugerahan ini. Saya syukur sangat-sangat. Saya rasa macam mimpi,” akhirinya.

Lagu Jangan Khianati Aku ini merupakan ciptaan sepenuhnya Saudara Dark.

Selepas dua tahun diterbitkan, lagu ini telah pun meraih lebih 24 juta tontonan di Youtube.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram Azlan & The Typewriter

Published by
Aizam Manaf