“Andai Lepas Hingga Ke Minggu Ketiga Pun, Saya Pasti Patah Semangat Dan Menangis,” – Harris Baba Komen Tersingkir Di Dansa Dan Sing

Share

Sudah jangka dirinya bakal menjadi peserta pertama tersingkir dalam program Dansa Dan Sing, Harris Baba mengakui kurang masa berlatih menyebabkan dia kelihatan tidak bersedia di atas pentas.

Jelasnya, dia kecewa dengan prestasi diri namun itu yang terbaik mampu dilakukan sementelah tidak punya kemahiran dalam tarian.

“Sejujurnya saya sendiri sangat kecewa dengan diri sendiri daripada minggu pertama dan minggu kedua. Ia situasi yang sangat sukar buat saya.

Saya sudah buat yang terbaik dan cuba berlatih menari dalam masa empat hari, namun nampaknya tidak mencukupi. Ini yang terbaik mampu lakukan, namun ia bukan yang terbaik nampaknya.

“Ia memang patut berakhir untuk saya. Saya bukan mahu mementingkan diri sendiri, namun saya sudah usaha hingga ke akhir. Andai saya lepas sehingga ke minggu ketiga pun, saya pasti akan patah semangat dan menangis,” jelasnya.

Dikritik kurang ‘showmanship’ oleh pihak juri, penyanyi daripada Singapura ini jelas tugasan yang diberi tidak mudah.

Namun mengakui tujuan utama menyertai program Dansa Dan Sing hanyalah sekadar untuk hiburkan penonton.

“Saya setuju dengan komen juri bahawa persembahan saya kurang memuaskan. Saya minta maaf dengan kumpulan Unique. Ia bukan mudah buat saya. Saya belajar bahawa bukan mudah mahu menyanyi dan menari dalam masa yang sama.

“Sewaktu mula menerima tawaran dan melihatkan 70 peratus untuk menari dan 30 untuk menyanyi, saya tahu ini bukan kemahiran saya.

“Namun saya bersetuju untuk menyertainya sekadar untuk berhibur dan inilah hasilnya.

“Namun jika pihak Astro maklumkan dua atau tiga bulan lebih awal, mungkin saya akan punya lebih masa untuk berlatih. 1 Januari merupakan hari pertama saya berlatih menari. Menari perlukan latihan yang sangat banyak,” luahnya.

Dalam perkembangan lain, Harris Baba kini sedang rancak mempromosi single terbaru berjudul Bagai Selalu selepas dua tahun menyepikan diri.

Menerusi penyingkiran tersebut, sembilan lagi peserta iaitu Chubb-E, Sophia Liana, Waris, Raja Shahiran dan Shiha Zikir yang bakal bersaing merebut wang tunai bernilai RM100,000 dan trofi.

Dansa Dan Sing dihoskan oleh Sherry Al Hadad dan Hady Mirza sementara juri tetapnya terdiri daripada Jasmine dan Datuk Rizalman Ibrahim.

Program berkenaan bersiaran secara langsung setiap Ahad jam 9.00 malam di Astro Ria dan Ria HD.

Published by
Noraini Abd Wahab