Pelakon utama filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra mendedahkan dia tidak berjaya menghubungi pihak penerbit, Kembara Studio Sdn. Bhd.
Lantaran itu, dia terpaksa menggunakan platform media sosial agar perkara tersebut dapat didengari.
“Assalamualaikum, kepada Kembara Studio Sdn. Bhd., andai tidak cukup handphone kerana susah nak dihubungi, saya sudi hadiahkan satu agar mudah untuk berkomunikasi dan berurusan.
“Akan kerana ini saya akan memanfaatkan sosial media agar mesej saya sampai ke pihak Kembara Studio dan InsyaAllah saya tidak akan hadir ke Tayangan Gala Filem Mat Kilau di Jakarta. Terima kasih.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Adi Putra memerusi sebuah hantaran di laman Instagram.
Bagaimanapun, pelakon asal Singapura itu tidak mengulas lanjut mengenai punca sebenar hantaran itu dibuat.
Pada masa sama, dia turut menyatakan hantaran tersebut adalah bersifat sementara.
Adi Putra turut memaklumkan, berkemungkinan besar dia juga tidak akan ikut serta pada tayangan gala filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti akui terkejut dengan perkara tersebut selain turut mendoakan agar apa sahaja permasalahannya dapat diselesaikan dengan baik.
Terdahulu, Mat Kilau mencipta rekod baharu dalam industri perfileman tanah air apabila merekodkan kutipan tiket berjumlah RM96 juta dalam tempoh 40 hari tayangan bermula 23 Jun lalu.
Selain Adi Putra filem epik ini juga turut dibintangi pelakon hebat tanah air lain antaranya Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
.Sumber & Kredit Foto: Instagram Adi Putra