Pengacara dan penyampai radio, Fizi Ali, 32, mendedahkan dia dan isterinya, pelakon Shakilla Koriri, 32, sudah berpisah dan kini memilih untuk membawa haluan masing-masing.
Perkara tersebut dimaklumkan Fizi menerusi satu hantaran terkini di Instagram miliknya, hari ini.
Fizi atau nama sebenarnya Muhd Hafizudin Alimudin bagaimanapun menjelaskan, dia dan Shakilla bersepakat untuk membesarkan anak mereka, Ameena dengan penuh kasih sayang meski kini hidup berasingan.
“Asalammualaikum semua..Maaf kepada mereka yang tertanya tanya apa yang terjadi pada saya dalam beberapa minggu ni. Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa saya dan Shakilla tidak lagi bersama dan akan membawa haluan masing-masing.
“Walaupun hidup berasingan, kami juga sudah bersepakat akan membesarkan Ameena dengan penuh kasih sayang. Kami janji Ameena tetap akan merasa kasih sayang sepenuhnya dari daddy dan umi,” tulisnya.
Dia pada masa sama mengharapkan agar semua dapat menghormati atas situasi yang berlaku dan mengucapkan terima kasih atas doa yang dititipkan buat mereka.
“Kami harap semua pihak dapat menghormati keputusan ini. Anggaplah jodoh kami sampai disini. Terima kasih atas doa-doa kalian sebelum ini dan mohon doa untuk kami bertiga meneruskan perjalanan yang panjang ini dengan penuh redha.
“InsyaAllah semoga doa yang baik-baik ini akan kembali ke kalian semua jugak.. Minta maaf dan terima kasih. 2 September 2013 – 15 December 2021,” tulisnya lagi.
Perkongsian tersebut nyata mengejutkan para peminat dan rata-ratanya memberikan kata semangat buat Fizi dan Shakilla.
Untuk rekod, pasangan selebriti ini berkahwin pada 18 Februari 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ameena Sofia yang kini berusia dua tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.