Malam tadi, anakanda Sultan Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah telah selamat bergelar isteri kepada FD Idzham FD Iskandar dalam istiadat ijab kabul bertempat di Balai Mahkota, Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahang.
Pasangan pengantin Diraja ini telah dinikahkan oleh Mufti Pahang, Datuk Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim yang diperkenankan oleh Sultan Pahang untuk menjadi wakil rasmi baginda.
FESYEN
Tidak sah bergelar pengantin tanpa busana yang menjadi penghias diri. Tengku Puteri Afzan tampil anggun menggayakan busana baju kurung moden yang direka oleh Haute Couture by Ri.
Busana berona putih penuh renda itu direka dengan sulaman bertingkat di bahagian labuh baju dan juga hujung lengan dan kain. Menjadikan ia lebih mewah, taburan batuan jemeki memenuhi busana memberikan efek kilau menarik.
Melengkapkan penampilan keseluruhan, aksesori perhiasan kemas bertatah berlian dan zamrud seperti kalung dan kerongsang memercik serlahan warna kepada busana serba putih itu.
Balutan hijab cantik terletak yang digayakan oleh Tengku Puteri Afzan pula disempurnakan oleh penata hijab terkenal, Nazrul Anas Zunaidi.
CANTIK
Keserian puteri raja berusia 23 tahun ini tidak disangkal lagi, apa tidaknya, Tengku Puteri Afzan memiliki kecantikan semulajadi yang diwarisi daripada bondanya.
Untuk majlis pernikahan, jurusolek terkenal tanah air, Rozlan Nassir telah diberi tanggungjawab untuk merias wajah Tengku Puteri Afzan. Gaya solekan yang segar menyerlahkan lagi raut keanggunan wajah anakanda kesayangan Sultan dan Tengku Ampuan Pahang itu.
Sekadar info, FD Idzham merupakan anak sulung kepada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor dan isteri, Datin Seri Hafizah Zakaria.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan