Pelakon Zaki Azeman, 28, telah pun selamat bertunang bersama wanita pilihannya yang juga adik kepada bintang media sosial Jaa Suzuran iaitu Raa Suzuran, 23, pada Rabu.
Majlis pasangan berkenaan berlangsung selepas waktu Zohor di kampung halaman Raa di Kota Bharu, Kelantan dengan dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.
Menurut Zaki atau nama sebenarnya Muhamad Zaki Azeman, dia dan tunang sepakat memilih tarikh 2 Februari kerana mudah diingati.
“Kami pilih tarikh 2.2.22 sebab angkanya cantik untuk diingati. Insya-Allah kami merancang untuk mendirikan rumah tangga selepas raya nanti,” katanya.
Ditanya mengenai soal kerjayanya dalam dunia lakonan selepas mendirikan rumah tangga, bintang asal Perlis mula dikenali selepas membintangi drama Isteri Bukan Untuk Disewa itu percaya kepada rezeki.
“Ada yang tanya tak takut ke nak bertunang dan seterusnya berkahwin ketika nama masih hijau? Saya percaya soal itu berbalik kepada rezeki dan tuah.
Urusan jodoh pun ketentuan-Nya. Mana yang baik, saya jalani sebaik mungkin,” katanya lagi.
Turut hadir meraikan pasangan mempelai ialah penyanyi Khai Bahar.
Berkongsi lanjut, Zaki menjelaskan dia mula mengenali Raa sejak hampir empat tahun lalu.
“Dia bekerja sebagai penstrim di laman sosial dan juga menjadi ‘influencer’.
“Malah menerusi media sosial juga kami kenal. Daripada Instagram kami jadi lagi rapat apabila selalu bermain permainan atas talian bersama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zaki kini sedang menjalani penggambaran drama 13 episod, Suci Dalam Debu arahan Datuk Jurey Rosli.
“Selepas itu saya akan sambung penggambaran drama slot Akasia TV3, Bisik Bisik Gelora sebanyak 35 episod di bawah arahan Riza Baharudin untuk produksi Global Station,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI