Bagi memberikan kelainan, Siti Nordiana yang bakal muncul dengan single terkini berjudul Angkara ada memberikan buah tangan yang cukup istimewa buat para peminatnya.
Sebelum melancarkan single hasil ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Fedtri Yahya dan dirinya sendiri itu, bintang yang sinonim disapa Nana terlebih dahulu menghadiahkan peminat dengan video muzik (MV) Angkara yang dipersembahkan dalam bentuk drama pendek.
Drama pendek hasil sentuhan Khairul Hazwan itu mengandungi empat episod yang mana pada episod akhir segala persoalan bakal terjawab.
Menariknya, episod keempat itu juga adalah MV penuh Angkara.
Episod pengenalan sudah pun ditayangkan 3 Julai lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
Menurutnya, idea tersebut timbul selepas melihat anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 12, yang suka menonton filem pendek di YouTube.
“Saya terfikir saya tak pernah buat macam ini, selalunya ‘countdown’ saja dan terus keluar video muzik penuh. Bagi saya ia sudah biasa. Jadi, kali ini saya nak bagi ‘extra’ dan drama sikit pada peminat.
“Dalam video muzik ini peminat kena menonton drama pendek dulu baru boleh tahu video penuh.
“Saya mendapat idea ini sebab anak suka menonton drama dan filem pendek di YouTube. Dari situ saya cuba untuk gunakan konsep sama dalam video muzik kali ini,” katanya.
Nana yang juga pelakon Dia Semanis Honey berkata, idea jalan cerita yang dipaparkan adalah inspirasi daripada kisah masalah rumah tangga yang banyak dipaparkan dalam drama atau filem.
“Pada mulanya saya memberi idea jalan cerita kepada pihak produksi. Mereka suka dan kami terus melakukan perbincangan untuk menambah baik lagi. Dengan bantuan pengarah, syarikat 1711 Music dan syarikat saya sendiri, maka terhasillah video muzik ini.
“Disebabkan banyak pihak terbabit, jadi saya perlu mendapatkan pandangan mereka juga. Baharulah orang kata ada variasi,” katanya.
Teristimewa buat peminat Nana juga, MV Angkara ini turut menampilkan pelakon popular, Fikry Ibrahim.
“Pengarah kalau boleh nak muka ‘bad boy’ dan ala-ala ‘playgirl’. Kebetulan saya dan Fikry pun baik. Dia kawan yang sangat mudah nak bekerjasama. Berurusan dengan dia pun senang dan tak banyak kerenah.
“Pendek kata, dia sangat memudahkan kerja. Walaupun ada yang cakap kenapa Fikry lagi, sebab dalam video muzik Hatiku Milikmu turut menggunakan Fikry. Tapi, disebabkan seronok bekerjasama dengan Fikry, jadi kenapa tidak kami bekerjasama semula.
“Dia pelakon yang sangat memberi. Kalau tengok drama pendek ini macam-macam rasa ada,” katanya.
Seterusnya, episod kedua bakal ditayangkan pada 8 Julai dan ketiga pada 13 Julai ini, jam 9 malam di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
Sementara itu, video muzik penuh bakal dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai. Serentak dengan itu, dilancarkan juga lagu Angkara.
Beberapa foto berkenaan Angkara turut dimuat naik Nana di Instagram miliknya.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI