“Anis Sofea Amat Sempurna Buat Saya,” – Dua Kali Lafaz, Haqiem Rusli Sah Bergelar Suami

Share

Penyanyi lelaki Haqiem Rusli, 24, sah bergelar suami kepada suri hati pilihannya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19, dengan dua kali lafaz di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya pada jam 3.40 petang tadi.

Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Zamzuri Ruslan, bersaksikan keluarga tercinta dan kenalan rapat pasangan.

Dalam majlis itu, Haqiem Rusli atau nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, selain lima dulang hantaran berbalas lima.

Sama cantik sama padan menerusi persalinan sedondon kelabu cair, Haqiem memanjat kesyukuran kerana majlis berjalan dengan lancar.

Ia dijalankan secara tertutup dengan dihadiri keluarga, kenalan rapat dan media sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Anis Sofea amat sempurna buat saya dan saya sangat senang dengan sikap, budi pekerti lemah lembut serta ketrampilannya yang telah menambat hati saya untuk memilikinya,” jelas Haqiem.

Sementara Sofea pula menyifatkan suaminya itu sebagai lelaki penyayang dan bertanggungjawab.

“Sifatnya yang penyayang, prihatin, bertanggungjawab, bercita-cita tinggi dan berbudi pekerti menjadikan saya jatuh hati kepadanya,” katanya.

Berkongsi rasa kesyukuran dan kegembiraan, pasangan raja sehari ini bakal mengadakan resepsi bersama 200 tetamu pada sebelah malam di aras 22, Sky Glass Cyberjaya.

Pasangan tersebut menjalin percintaan sejak dua tahun lalu dan mereka berkenalan semasa menjalankan urusan perniagaan.

“Kalau nak tahu restoran Santhai Village yang saya usahakan selama ini bersama dengan dialah (isteri). Awalnya dia memang nak tawarkan saya sebagai duta restoran makanan steamboat itu.

“Tapi saya fikir kenapa tidak menjadi rakan kongsi juga. Sambil mempromosikannya, ada juga bahagian saya. Akhirnya persetujuan dicapai, kami jadi rakan kongsi. Sekarang sudah kongsi kehidupan bersama pula.

“Jadi dipendekkan cerita, kerap berjumpa dan tanpa diduga juga hati mula terpaut sayang,” katanya yang setakat ini merancang berbulan madu di Sabah.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Aqo Imran

Published by
MH