Fattah Amin berkongsi tips yang diamalkan sepanjang fasa kehamilan isterinya yang juga pelakon, Nur Fazura.
Difahamkan, usia kandungan penyanyi lagu Cinta Lagka itu kini sudah masuk bulan ketujuh dan antara perkara yang dilakukan Fattah adalah membaca surah Yusuf dan Mariam.
“Setiap kali selepas balik kerja, jika berpeluang, saya akan luangkan masa untuk membacakan beberapa surah untuk anak kami di dalam kandungan itu.
“Antara surah yang saya baca adalah surah Yusuf dan Mariam, Insya-Allah, saya percaya akan kebaikan membaca surah-surah ini kepada bayi dalam kandungan,” katanya memetik Gempak.
Pada masa sama, Fattah turut akui ‘mood’ si isteri berubah-ubah sepanjang kehamilannya.
Bagaimanapun, juara Hero Remaja 2012 ini sentiasa bersabar dalam melayani kerenah isteri.
“Saya faham, sudah tentu wanita yang sedang hamil akan mengalami sedikit perubahan dari segi mood mereka, begitu juga isteri saya.
“Tetapi, sebagai suami, saya perlu banyak bersabar dan sentiasa berada di sisi dia, layankan sahaja kerenahnya,” katanya lagi.
Untuk rekod, pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Sumber: Gempak