Setiap pasangan yang sudah berkahwin pastinya menyimpan impian untuk menimang cahaya mata tanda kasih sayang yang telah dibina.
Pelakon cantik, Anzalna Nasir juga sama seperti pasangan suami isteri lain yang mengimpikan untuk menimang cahaya mata sendiri.
Menurut laporan Harian Metro, Anzalna berkata dia sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi ibu sejak tahun lalu lagi namun rezeki masih belum berpihak kepadanya.
Tambahnya lagi, dia nekad untuk berehat dan menghabiskan masa di rumah kerana merancang untuk hamil tahun ini. Pelakon ini juga turut mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua agar mereka dikurniakan zuriat.
“Pada tahun ini, saya cenderung untuk menerima tawaran menjayakan telefilem kerana penggambaran tidak ambil masa lama dan buat masa ini, saya banyak berehat dan menghabiskan masa di rumah.
“Doakan yang baik-baik agar saya dan suami dikurniakan cahaya mata.
“Sebenarnya tahun lalu saya sudah bersedia untuk jadi ibu tetapi belum ada rezeki. Jadi, kali ini saya mahu berehat dan bercuti bersama suami,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, ada segelintir netizen yang membuat spekulasi bahawa Anzalna sedang hamil apabila dia berkongsi berat badannya bertambah.
Namun, pelakon ini menafikan dakwaan tersebut dan tidak mengambil hati dengan spekulasi yang timbul malah dia bersyukur kerana ramai yang tidak sabar untuk menanti dirinya melahirkan cahaya mata.
“Syukur, ramai mendoakan saya cepat hamil dan bergelar ibu. Tiada istilah kecil hati atau marah apabila ada yang sebar cerita kononnya saya hamil.
“Mohon teruskan berdoa supaya impian saya berbadan dua tahun ini tercapai,” katanya.
MH doakan agar Anzalna dan suami dikurniakan cahaya mata tidak lama lagi.
Sumber: Harian Metro