Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan mengakui dia tidak tahu apa motif dan tindakan rakan artis, Fatiya Latiff yang bertindak memuat naik gambar dia bersama Zul Ariffin menerusi Instagram.
Bagaimanapun difahamkan, gambar tersebut sudah pun dipadam daripada Instagram milik Fatiya beberapa jam selepas ia dimuat naik.
Menerusi entri berkenaan, pelakon drama rantaian Rumi dan Jawi itu ada menulis kapsyen yang membayangkan pasangan pelakon filem seram, Misteri Dilaila itu ‘comel’ bersama dan meminta agar aktor filem Tombiruo itu menjaga Elizabeth dengan baik.
“They look so cute together omg! Dear @zul_ariffin pls take good care of this lil’cute angel trust me she’s an ‘angel’,” tulis Fatiya dengan diikuti dengan emoji tanda senyum.
Elizabeth atau lebih mesra dengan panggilan Lizzy ketika dihubungi MH nyata terkejut dengan posting berkenaan dan hanya mengetahui hal tersebut menerusi rakan media.
“Saya tidak tahu apa motif dia muat naik gambar saya dan zul? Rasa kelakar pun ada. Mengapa dia buat tindakan sedemikian kerana kami tidak pernah berjumpa. Kalau ada, dia pernah hubungi saya untuk berbincang mengenai sesuatu tahun lepas.
Saya tak marah, cuma rasa pelik dan kelakar. Apa pun, saya doakan yang terbaik untuknya,” kata Lizzy.
Ditanya sama ada posting berkenaan turut membayangkan seperti ada bibit cinta di antaranya dan Zul, Lizzy secara jujur mengakui dia tidak meyimpan apa-apa perasaan terhadap pelakon sasa tersebut.
“Tiada apa-apalah. Fokus saya pun sekarang hanyalah pada kerjaya seni saja. Gambar itu diambil ketika di set filem Misteri Delaila.
Dalam filem berkenaan, kami mendukung watak sebagai suami isteri,” akui Lizzy yang turut menambah, penggambaran filem tersebut masih lagi berbaki selama beberapa hari saja lagi.
Foto: Instagram Elizabeth Tan, Fatiya Latiff