“Apa Nak Malu?” – Ayu Damit Kenang Memori Tolong Suami Niaga Di Pasar Tani

Share

Penyanyi Ayu Damit mengakui dirinya tidak pernah rasa malu atau ‘segan’ apabila ada ketikanya dia turun berniaga ke pasar tani untuk berniaga hasil sayur-sayuran yang diusahakan bersama suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin.

Malah katanya, sekiranya dia tiada sebarang aktiviti seni sebelum ini, dia lebih selesa untuk isi masa dengan membantu suami di ladang tanaman cili, termasuk berniaga di pasar tani dan jualan langsung.

“Dulu saya pernah juga berniaga cili di pasar tani. Selain mengedar hasil tanaman kepada peniaga lain, kami turut cari rezeki dengan berniaga begitu.

“Soal artis ke tidak ke, itu bukan persoalan. Yang penting saya dan suami cari rezeki halal. Orang nak kata apa, itu hak mereka.

“Janji saya suka dan timbul rasa puas bila apa yang diniagakan itu mendapat sambutan pembeli. Apa nak malu?” katanya yang turut menyediakan cili jeruk.

Ditanya mengenai jadual terkininya yang pasti padat apabila saingan minggu pertama Gegar Vaganza 7 (GV7) bermula Ahad, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Hanya Di Mercu ini mengakui perniagaan yang diusahakan diuruskan oleh suami sepenuhnya.

“Jadual memang padat. Setakat ini, saya dan suami sudah pun berbincang dan dia akan menguruskan soal tersebut. Kalau ada masa, saya cuba bantu hal-hal kecil.

“Dia juga ada pembantu yang secara tak langsung memudahkan kerja,” jelasnya yang kini banyak isi masa dengan mengikuti kelas vokal sebagai persiapan menjelang konsert pertama GV7.

Dalam perkembangan lain, Ayu baru sahaja membuka restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Ia menampilkan pelbagai juadah enak dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan negeri kelahirannya, Sabah.

Selain itu, Ayu turut mengusahakan jualan kuih Bahulu Borneo sejak lebih setahun lalu.

Published by
Rafiq Mazlan