Berita

“Apa Sahaja Yang Datang Kepada Kita, Kita Tak Boleh Nak Kawal,” – Marissa Dania

Share

Anak kepada pelakon Abby Abadi, Marrisa Dania Hakim, 19, berpendapat dia tidak boleh menghalang warganet daripada terus memberikan pelbagai reaksi terhadap setiap hantaran yang dikongsikannya di media sosial.

Menurut Marrisa, perkara itu tidak boleh dikawal, namun hanya mampu memberikan reaksi terhadap situasi tertentu sahaja.

“Apa sahaja yang datang kepada kita, kita tak boleh nak kawal. Cuma ia mungkin boleh dikawal dengan bagaimana kita jawab dan respon terhadap sesuatu perkara.

“Jadi bagi saya, bila ia terjadi, saya tak boleh nak buat apa-apa. Saya tiada niat untuk raih perhatian orang. Setiap apa yang saya kongsi itu adalah untuk saja-saja (diri-sendiri),” katanya.

Malah Marissa turut menjelaskan situasi sama terjadi kepada ibunya apabila setiap hantaran yang dimuat naik di media sosial menerima sorotan ramai.

“Sama juga dengan hantaran yang dibuat Mama. Bukannya dia mahu bercerita dan beritahu kepada semua orang. Sebaliknya ia adalah untuk diri-sendiri.

“Cuma mungkin ada yang menganggap perkara itu adalah sebaliknya, atau ada yang terasa dengan hantarannya,” katanya lagi.

Marissa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran perisa baru Berryfull bersama Abby Abadi di Damansara pada Sabtu.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakannya meninggalkan komen di Instagram ibunya mengenai tidak menjawap pesanan WhatsApp, Marissa berkata niatnya hanyalah untuk bergurau.

“Saya dan mama tak ada apa pun sebenarnya. Memang saya nak menghubungi mama, tetapi niat saya ketika itu hanyalah untuk bergurau.

“Kami okay sahaja. Tempoh hari, mengenai perkara itu ada sebablah dan tak ada apa pun,” katanya.

Sementara itu, berkongsi keadaanya yang baru kehilangan bayi sulung bulan lalu, Marissa berkata dia dan suami reda dengan pemergian bayi itu.

“Tentulah kami sedih kerana kehilangan anak tapi kena kuatlah.

“Saya dan suami okay. Kami bersama-sama harungi dugaan ini dan anggap dah tak ada rezeki, jadi nak buat macam mana?” katanya.

Terdahulu, Marissa sebelum ini dikejarkan ke sebuah hospital apabila mengadu sakit perut selepas menghadiri sebuah acara pelancaran produk.

Susulan itu, Marissa dilaporkan bersalin ketika usia kandungannya berusia enam bulan namun bayi pra matang dilahirkan tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia.

Marissa yang juga isteri kedua Ahmad Aslam sebelum itu dikatakan mengadu sakit perut sebelum dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.

Namun, bayi sulung mereka meninggal dunia ketika dilahirkan dan selamat dikebumikan sehari kemudian.

Marissa bernikah dengan Ahmad Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 sekali gus bergelar madu kepada isteri pertama lelaki terbabit iaitu Umisya Mazlan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
MH