“Apa Salahnya Dia Berkongsi,” – Risteena Sering Dikritik, Ruhainies Cerita Ada Terima Tempias Kecaman Kakak

Share

Pelakon, Ruhainies mengakui turut menerima kecaman daripada netizen yang memberi kritikan secara melampau mengenai kemesraan kakaknya, Risteena bersama tunang, pelakon Isa Khan.

Menurut bintang berusia 28 tahun ini, perkara ini kerap terjadi kepada dirinya terutama sekali di laman media sosial.

“Secara tak langsung memang saya akan terkena kecaman itu juga sebab kami adik-beradik tambahan pula hubungan kami berdua sangat rapat,” jelasnya kepada MH.

Bagaimanapun, Ruhainies menjelaskan dia tidak menghiraukan segala kritikan terhadap kakaknya kerana memahami, serta memberi ruang buat si kakak untuk merasai kebahagiaan dalam percintaan.

“Kalau nak ikutkan tahun ini merupakan tahun ketujuh Risteena terlibat dalam industri hiburan dan baru tahun ni dia dedahkan kekasih kepada umum.

“Jadi apa salahnya untuk dia berkongsi sebab dia pun nak hidup macam orang lain.

“Bila jadi perkara hal seperti ini saya sebagai adik sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Sebab bagi saya, tak kisah pun dia nak kongsi pasal pasangan, macam orang lain selalu buat sebab kami artis pun kami tetap manusia dan kami berdua pun nak juga merasai kebahagiaan,” katanya jujur.

Sekadar informasi, Ruhainies ditemui oleh media di malam tayangan perdana filem M4M4 yang berlansung di MM Ciniplexes E-Curve Damansara, pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, bintang ini kini sibuk di lokasi penggambaran filem, Seandainya Kau Ada, di samping Raysha Rizrose.

Published by
Nazar Rafiqhi