Pelakon Intan Ladyana menyifatkan momen disatukan sebagai suri hati kepada suami yang juga pelakon, Harris Alif dalam tempoh pandemik sebagai satu pengalaman yang cukup berharga.
Malah dalam tempoh 10 bulan bergelar sebagai suami isteri, perkongsian hidup mereka juga turut disusuli dengan kehadiran Anugerah.
Menzahirkan rasa syukur, aktres itu terharu apabila dia dan suami diberi peluang oleh Nori Malaysia Sdn Bhd. untuk memperkenalkan produk wangian mereka dibawah jenama Anugerah.
“Anugerah sudah mempunyai dua produk, iaitu Anugerah Body Mist dan Anugerah Fantasy. Malah saya dan suami juga dalam rancangan untuk memperkenalkan Anugerah Man. Ketika ini produk kami sudah berada di lapan pusat beli-belah, Aeon di seluruh negara.
“Insya-Allah pada tahun ini juga produk kami akan berada di lima lokasi lain antaranya di Pantai Timur,” katanya yang mengakui perkataan ‘anugerah’ itu sendiri mempunyai signifikan istimewa.
“Mengapa kami memilih Anugerah, sebagai jenama produk wangian kami? Sebab ia juga merupakan tajuk lagu Harris berjudul Anugerah dan lagu ini sempena hari perkahwinan kami.
“Jadi perkataan tersebut cukup istimewa buat kami berdua,” katanya lagi.
Memilih untuk mengeluarkan Body Mist berbanding minyak wangi, Intan berkata, sebagai ahli perniagaan, dia dan suami sangat berhati-hati dalam memperkenalkan produk di bawah jenamanya.
“Sebabnya fokus kami sendiri adalah untuk menghasilkan produk yang dapat menambat hati pengguna dari pelbagai peringkat umur. Kita tahu Body Mist lebih mesra pembeli, selain boleh dipakai pada bila-bila masa.
“Berbeza dengan minyak wangi yang mungkin hanya boleh dipakai pada waktu tertentu. Paling penting kami mahu Body Mist Anugerah ini mudah dibawa ke mana-mana,” kongsinya.
Sementara itu bagi Harris, dia melihat peluang yang diberikan Nori Malaysia sebagai satu cabang perniagaan yang ingin diceburinya.
“Bila Nori Malaysia tawarkan untuk jalin kerjasama, kami tidak mengambil masa yang panjang untuk setuju. Antara sebab mengapa kami yakin dengan Nori Malaysia juga kerana ramai lagi rakan artis lain turut menjalinkan kerjasama.
“Malah selepas hampir setahun berada di pasaran kami juga sudah mempunyai dua produk dan ini adalah progres yang baik,” tambahnya yang percaya rezeki.
Intan turut berkongsi, kehidupan sebagai isteri juga menuntut dia untuk lebih teliti sebelum menerima apa-apa tawaran dalam memastikan tidak mengganggu tanggungjawab utamanya.
“Memang ada yang berubah selepas berkahwin pastinya keutamaan saya kepada keluarga kini. Pada tempoh sekarang juga saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
“Fokus saya kini bukan kepada kerjaya sahaja tetapi juga keluarga, jadi saya perlukan kehidupan yang seimbang. Sebab itu saya agak memilih tawaran selepas berkahwin. Tetapi Alhamdulillah rezeki selepas berkahwin itu lebih murah,” jelasnya.
Ditanya mengenai desas-desus Intan yang kini sedang berbadan dua, Harris berjanji akan berkongsi berita gembira tersebut bila tiba masa sesuai.
“Tiada apa yang boleh saya kongsi lagi, tetapi saya berjanji kalau ada waktu yang sesuai untuk kami kongsikan berita yang gembira kami akan berbuat demikian.
“Cuma buat masa ini, apa yang kami minta daripada peminat di luar sana adalah doa-doa ikhlas kalian. Terus doakan kebahagian saya dan Intan,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.