Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat akui puas apabila dapat menyempurnakan dua tugasan mencabar di pentas akhir The Hardest Singing Show (THSS) meskipun harus berpuas hati selaku naib juara.
Menurut Ayda, pada pusingan akhir ini, kesemua finalis mempunyai peluang sama rata untuk menunjukkan kemampuan mereka.
“Kalau ikutkan, pada malam final ini, saya dapat tempat ke berapa pun saya tak kisah. Bila sudah dapat dua tugasan yang agak susah dengan jayanya tanpa ada kecederaan, itu sudah dikira satu kemenangan.
“Nak menjayakan satu persembahan dengan baik pun dah susah, nak buat dua persembahan dengan orang lain yang juga punyai kelebihan dan kekurangan juga sangat mencabar.
“Malah, kita juga perlu cari keserasian. Semalam Aisha Retno cedera. Gimik kami sepatutnya lain. Saya tak boleh nak paksa dia.
“Tapi dia tetap nak buat stunt yang agak susah. Bila kami berjaya buat, rasa seperti sudah menang,” katanya kepada MH ketika sesi sidang media THSS pada Ahad.
Diminta mengulas mengenai komen ketua juri Edry Abdul Halim yang menyifatkan konsep persembahan solonya yang kurang menyerlah, Ayda memaklumlan dirinya berusaha untuk keluar daripada zon selesa.
“Adat pertandingan, ada yang menang dan kalah. Apa yang saya belajar di program ini, kita kena beli jiwa juri dan penonton.
“Apa yang saya persembahkan tadi, saya nak tunjukkan tahap paling susah dengan membawa budaya orang lain. Kalau nak senang, saya nanyi lagu dangdut je.
“Mungkin malam ini rezeki Epul. Dia buat dengan sangat baik dan layak untuk menang. Dalam pertandingan, bila rehearsal, kita nampak persembahan mereka biasa sahaja tapi bila hari konsert, persembahan mereka gempak. Kita tak boleh agak,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, penyanyi lagi Pencuri Hati ini enggan mengulas lanjut saat ditanya mengenai jumlah kos yang telah dibelanjakan sepanjang bertanding di THSS.
“Kalau boleh saya tak nak bercakap soal kos. Kalau tak cakap pun, orang di luar sana boleh jangka jumlahnya. Saya bukan tabur duit semata sebab nak menang tapi inilah diri saya.
“Bukan ketika pertandingan atau dalam tv sahaja, malah ketika persembahan di luar, saya sangat teliti soal penampilan, konsep persembahan, baju penari, make up dan stail rambut.
“Saya tak mahu imej penyanyi dikatakan selekeh atau sambil lewa. Apa yang dipersembahkan, harus tampak eksklusif,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, isteri kepada pengacara Nabil Mahir ini turut mendedahkan fokusnya kini adalah untuk mengadakan konsert solo pada masa akan datang.
“Sasaran saya selepas ini adalah untuk mengadakan konsert sendiri. Kenapa tidak kita belanjakan untuk konsert kita sendiri dan kita juga dapat hasilnya.
“Jadi, saya berharap dengan apa sahaja persembahan yang telah saya tunjukkan sepanjang menyertai pertandingan, orang di luar sana akan beli tiket,” akhirinya.
Terdahulu, Ayda telah dinobatkan selalu naib juara THSS dengan perbezaan markah yang sangat tipis iaitu 1.49% dengan juara Aepul Roza.
Kemenangan tersebut membolehkan Ayda membawa pulang wang tunai RM20,000, pakej pelayaran dan trofi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.