Penyanyi Bienda atau nama sebenarnya, Nor Razlinda Razli yang kini berada di tanah suci Mekah bagi menunaikan umrah bersama suaminya akui mahu mendoakan yang terbaik buat kenalan, termasuk memohon kebahagiaan berpanjangan buat ibu tersayang, penyanyi Sheeda.
Katanya kepada MH, apa yang telah dilalui si ibu yang kini kembali bergelar ibu tunggal adalah sesuatu yang tidak mudah untuk ditelan.
“Sudah tentu saya akan mendoakan kebahagiaan mama. Kalau diikutkan, selain dia pastinya juga buat suami, anak-anak, keluarga serta sahabat handai. Doa untuk semua, usah kedekut doa.
“Kata orang lagi banyak orang yang kita mendoakan, lebih baik,” akui Bienda jujur.
Ditanya mengenai apa yang telah berlaku dalam kehidupan peribadi Sheeda, anak kedua daripada tiga beradik ini percaya ibunya seorang yang kuat.
Sebagai anak, sudah pasti dia mengharapkan yang terbaik.
“Untuk mama, saya percaya dia seorang yang kuat, sudah lalui beberapa proses perceraian sebelum ini. Dia seorang yang positif. Hubungannya dengan Daddy (panggilan Bienda buat bekas bapa tiri) masih lagi baik.
“Sebagai anak saya kagum punyai ibu yang memiliki hati yang sangat baik, suka tolong orang. Saya sebagai anak lebih mengenalinya.
“Apa yang saya harapkan kini, biarlah dia ‘enjoy’ dengan kehidupan sekarang sebab sebelum ini dia banyak berkorban untuk orang lain.
“Orang luar tidak tahu macam mana mama struggle. Mungkin kami bukan jenis yang suka kongsi mengenai hal peribadi, mana yang terdekat tahulah.
“Mama sejak muda jalani hidup susah. Maksudnya bercerai kemudian bergelar ibu tunggal, kerja dengan menyanyi tanggung anak-anak sampailah kami besar,” ulasnya.
Pada masa sama, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Penantian ini turut bersimpati atas apa yang berlaku seterusnya cuba memberi sokongan berterusan buat ibu.
“Lalu bila kita ni anak perempuan bila sudah berkahwin, sudah ada tanggungjawab sendiri dan hanya boleh bantu sedaya mampu.
“Akan tetapi saya akan tetap ‘fight’ untuknya. Bila ibu kita menjadi ibu tunggal, sudah tentu kita sebagai anak kena bantu. Sebanyak mana yang kita mampu tolong, kita tolong.
“Dia juga pernah kahwin beberapa kali sebelum ini, kesian padanya. Kalau ditanya pada saya, sebagai ibu… Dia di mata saya sudah cukup baik.
“Saya mengharapkan sesuatu yang baik hanya untuknya. Dia pikul tanggugjawab yang besar,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini lagi.
Difahamkan, Sheeda yang terkenal menerusi lagu dangdut, Angkat Kaki berpisah dengan suaminya sejak pertengahan tahun lalu.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI