“Apabila Dia Pun Sudi Dan Bersetuju Datang, Bagi Saya Ia Satu Rahmat,” – Bersua Selepas 4 Tahun, Melodi Raya Temukan Izreen-Intan

Share

Pelakon, Izreen Azminda mendedah dia meminta maaf sebanyak tiga kali terhadap bekas isteri suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude iaitu Intan Liana Saleh ketika dipertemukan buat kali pertama selepas beberapa tahun pada rakaman program Melodi Raya baru-baru ini.

Sambil menzahirkan rasa syukur kerana menyifatkan doanya selama ini dimakbulkan Allah SWT, Izreen, 36, atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam menerusi Harian Metro mejelaskan, dia terbuka kerana program hiburan itu menjadi orang tengah menemukan mereka.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah. Apabila pihak Melodi bertanyakan perkara ini, saya okay dan tidak ada apa-apa halangan. Bukan sebab ia untuk program, tapi saya memang sudah lama menantikan peluang ini.

“Apabila dia pun sudi dan bersetuju datang, bagi saya ia satu rahmat. Saya cakap pada diri, doa saya dimakbulkan Allah. Kiranya ini adalah pertemuan pertama kami selepas empat tahun.

“Bagi saya, apa saya nak buat selama ini, Melodi sudah realisasikan untuk saya. Ibaratnya Melodi menjadi orang tengah,” katanya.

Izreen yang kini hamil anak ketiga berkata dia juga tidak melepaskan peluang itu dengan meminta maaf terhadap Intan.

“Sewaktu dia sampai, saya tegur dulu. Ketika naik pentas untuk memulakan rakaman, saya minta maaf padanya. Kali kedua ketika rakaman berlangsung dan ketiga sebelum pulang. Malah kami sempat bergambar bersama.

“Harapnya selepas ini baik-baik saja. Sebab saya sudah minta maaf. Walaupun ungkapan maaf itu ringkas, tapi ia ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam. Selebihnya terserah pada dia, samada nak maafkan atau tidak,” katanya.

Sesi pertemuan dua wanita itu bakal ditayangkan pada program Melodi Raya di TV3, hari ini.

Sementara itu, berkongsi mengenai kehamilannya yang kini mencecah usia lima bulan, Izreen berkata pada awalnya dia mengalami alahan teruk.

“Alhamdulillah, sekarang ini semuanya okay. Cuma pada awal kehamilan saja yang mana alahan dirasai berbeza dengan dua anak sebelum ini.

“Kali ini sampai bau minyak masak pun tak boleh hidu. Jadi, saya tak masak. Masuk bulan keempat, semuanya kembali okay,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, Izreen meraikan bersama suami dan anak mereka, Aaron Ibrahim serta ibunya.

Sementara anak sulungnya, Adrian Umar beraya bersama bekas suami juga pengarah, Muhammad Riza.

Sumber, Foto: Harian Metro, Instagram Izreen Azminda

Published by
MH