Penyanyi Aina Abdul tidak menafikan tekanan yang bakal dialami pada malam Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35), apabila ramai yang mulai berteka-teki penyanyi manakah yang bakal merangkul trofi Anugerah Vokal Terbaik kali ini.
Menjadi pilihan peminatnya yang mengharapkan agar bintang itu mampu membuktikan sesuatu dengan merangkul anugerah tersebut, tidak kurang juga yang turut membandingkan Aina dengan rakan penyanyi lain.
“Sudah tentu rasa tertekan, terutamanya bila dikaitkan dengan rakan penyanyi seperti Ernie Zakri. Dia ialah kawan yang baik kepada saya. Jadi jika berjumpa, kami tak suka bercakap mengenai vokal.
“Kami elak dan cuba untuk bercakap tentang hal lain. Hubungan kami boleh saya katakan bukan sakadar ‘hi hi bye bye’ semata-mata. Kami sangat rapat.
“Apabila dibanding-bandingkan, saya tidak berapa suka. Sebabya, Ernie ada kekuatan sendiri dan begitu juga sebaliknya. Apa pun, semua yang bertanding ada peluang,” katanya.
Ditanya sejauh mana perkara tersebut boleh menjejaskan tumpuannya kelak, penyanyi berusia 27 tahun ini menjelaskan, dia kini berusaha dan semakin mampu mengawalnya.
“Dulu betul, saya akan rasa terganggu dengan perkara tersebut, tapi sekarang ia sudah mulai berkurangan.
“Mungkin sebab saya kerap sertai program berbentuk pertandingan yang secara tidak langsung melatih saya untuk kekal fokus ketika membuat persembahan,” kata juara The Mask Singer musim pertama ini lagi.
Dua penyanyi yang sinonim dengan kekuatan vokal ini bakal berentap masing-masing menerusi lagu Semalam (Aina) dan Gundah (Ernie Zakri) bersama 10 barisan lagu lain yang terpilih.
Sementara itu berkongsi mengenai pilihan peribadinya di AJL35 pula, Aina jujurnya tidak sabar untuk melihat persembahan lagu Eh.
“Saya menantikan persembahan lagu Eh nyanyian Zizi Kirana. Saya suka mesej yang ada di dalam lagu tersebut. Bagi saya ia berani dan unik,” ujarnya.
AJL35 bakal bersiaran secara langsung pada 7 Februari depan di TV3.