Penyanyi Ayu Damit mengenang kembali zaman sukarnya untuk kembali menempa populariti sejurus menjadi juara program realiti, One In A Milion, kira-kira 12 tahun lalu.
Sinonim menerusi single Hanya Di Mercu, penyanyi asal Sabah ini mengakui dirinya pernah tersilap langkah hingga menyebabkan karier nyanyiannya kurang menyerlah sejak lapan tahun lalu.
Meski pelbagai naskhah seninya diketengahkan, namun ia dilihat masih kurang berjaya mengembalikan sinaran populariti yang pernah dikecapi.
“Dulu kita ‘zero’, tidak tahu apa-apa. Orang cakap alami kejutan budaya. Bila tidak ada yang bimbing atau jaga dengan betul, sebab itulah perkara itu berlaku.
“Tetapi saya percaya, apa yang terjadi adalah proses pembelajaran dan pengalaman yang cukup bermakna sebenarnya.
“Kalau ia tidak berlaku dulu, mungkin saya tidak tahu bagaimana cara untuk atasinya selepas ini. Pengalaman mengajar.
“Apa yang saya lalui bukan satu hal yang mudah sebenarnya,” kata Ayu.
Terdahulu, Ayu ditemui pada sidang media memperkenalkan 14 peserta program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) di Envi Skydining, Menara Ta One, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada Selasa.
Bercakap soal penyertaannya sebagai salah seorang peserta GV tahun ini, Ayu mengambil peluang yang ada untuk membuktikan kebolehan, seterusnya cuba memberikan yang terbaik buat yang tidak putus memberikan sokongan.
“Ini satu pentas yang besar. Malah suami turut cakap, penyertaan dalam GV7 ini mungkin satu platform terbaik untuk buktikan yang saya masih lagi aktif menyanyi.
“Dah lama tak keluar televisyen, jadi inilah peluang terbaik kembali perkenalkan diri ini kepada peminat yang sentiasa menyokong. Insya-Allah,” katanya optimis.
“Lapan tahun untuk saya bangkit bukan satu tempoh yang pendek.
“Kalau ditanya apa yang saya lalui sepanjang fasa tersebut, bila ada yang kata kita sudah tak boleh menyanyi dan sebagainya.
“Lagi satu, bila kita buat persembahan kecil-kecilan, sukar untuk dikenali kembali. Apabila ‘down’, nak naik balik tu susah,” dedahnya.
Memulakan saingan pertama pada 11 Oktober depan bersama 14 peserta tahun ini, konsert mingguan GV7 akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.