Penyanyi senior, Ramlah Ram meminta ramai agar tidak terus mengaitkan namanya sebagai ibu saudara kepada pelakon dan bintang media sosial, Fara Mendoza.
Bintang berusia 55 tahun seperti yang dipetik menerusi Harian Metro menjelaskan, mereka memang tidak ada hubungan kekeluargaan. Malah, tidak tahu bagaimana perkara tersebut boleh timbul.
“Fara Mendoza bukan anak saudara saya. Kami tidak ada pertalian darah langsung dan dia memang bukan siapa-siapa dengan saya.
Saya hanya kenal dia sebagai pelakon kerana kami pernah berjumpa dua kali dalam majlis hiburan,” katanya seperti yang dipetik.
Sementara itu, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu ini turut akui dia perlu memberikan penjelasan demi menjaga nama baiknya dan keluarga di kampung.
“Selama ini, saya ada juga dengar orang kaitkan kami ada hubungan kekeluargaan yang rapat. Namun, saya biarkan saja. Saya fikir tidak perlu ambil peduli.
“Namun, apabila pelbagai cerita sensasi mengenai Fara Mendoza timbul, maka nama saya dikaitkan. Banyak mesej langsung (DM) melalui Instagram dihantar orang ramai kepada saya meminta supaya tolong menasihati anak saudara sendiri,” terangnya lagi.
Ramlah pada masa sama turut akui, situasi yang berlaku membuatkan dirinya keliru kerana terheret dalam urusan yang tidak ada kena-mengena dengannya secara tak langsung.
“Dia bukan anak saudara saya, jadi macam mana nak nasihatkannya. Justeru, saya minta janganlah terus mengaitkan kami.
“Bukan saya seorang saja terkena tempias membabitkan perihal Fara Mendoza ini tetapi keluarga di kampung iaitu adik-beradik dan anak saudara turut terpalit sama.
“Paling tak disangka, dalam Wikipedia Fara Mendoza pun dicatatkan nama saya sebagai ibu saudara, sedangkan realitinya itu tidak benar,” dedah Ramlah.
Lalu, bintang senior ini turut berharap dengan penjelasan ini, tidak ada lagi mana-mana pihak terutama penulis blog mengaitkan namanya dan pelakon wanita terbabit.
“Malah, kepada pihak yang membuat Wikipedia Fara Mendoza itu, diminta tolong padamkan nama saya sebagai ibu saudara kerana kami bukan ahli keluarga.
“Saya harap dengan penjelasan ini, nama baik saya dan keluarga dapat dibersihkan kerana kami memang tidak ada kena-mengena dengan Fara Mendoza,” pintanya yang turut menambah pada usianya kini, dia mahu menjalani kehidupan harian dengan tenang tanpa perlu memikirkan masalah orang lain.
Malah ujarnya lagi, penjelasan tersebut dibuat bukan kerana menilai keperibadian Fara Mendoza tetapi sudah tiba untuk dia tampil bersuara menjelaskan kekeliruan.
Sumber/Foto: Harian Metro/Instagram Ramlah Ram, Fara Mendoza