Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel kecewa dengan tindakan segelintir netizen yang bertindak keterlaluan sehingga mengugut ibu bapanya hanya kerana bercanggah pendapat mengenai gerakan ‘Blockout 2024’.
Menurut Naim, tindakkan seperti ini sememangnya tidak boleh diterima kerana ia bercanggah dengan kehendak agama.
“Jika ini adalah sebahagian daripada cara untuk #blockout2024, maka terangkan kepada saya, apakah dihalalkan untuk mengugut, menghina, memfitnah, mencaci maki tanpa usul periksa atas nama boikot.
“Alhamdulillah, saya dibesarkan dalam keluarga yang penyayang, menerapkan nilai-nilai Islam dan empati sesama manusia, hubungan sesama alam juga manusia.
“Saya dididik penuh hikmah dan sopan oleh kedua orang tua saya yang juga beragama Islam,” tulisnya.
Perkara itu dikongsikan oleh penyanyi lagu Sumpah itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Pada masa sama, Naim turut menegaskan dirinya tidak pernah berkerjasama dan menerima tajaan daripada jenawa mewah yang pro-Israel.
“Saya tidak pernah menidakkan kesengsaraan mahupun kezaliman saudara mara sedarah seagama di sana.
“Malah saya juga tidak pernah menerima sebarang bentuk tajaan barangan mewah dari jenama yang menyokong rejim laknatullah,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Naim telah dikritik netizen selepas memuat naik hantaran di aplikasi X meminta para netizen untuk tidak bertindak terlalu extrem dalam melancarkan gerakkan boikot.
Mengulas mengenai perkara tersebut, pelakon drama I.D ini menjelaskan dia sebenarnya tidak mahu orang ramai menanamkan kebencian melampau sehingga menyebabkan perpecahan sesama umat.
“Hanya kerana saya berpesan supaya jangan melampau dalam memboikot, sehingga perlu menghina perkara yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang diboikotkan.
“Saya berpesan supaya tidak bersifat ‘Ghuluw’ atau melampau sehingga mampu mewujudkan cabang dosa dalam masa kita cuba melakukan sesuatu atas nama kebaikan.
“Saya dikatakan ‘terpaling’. Malah siap ada mereka mereka yang menyalah erti dan menggunakan naratif yang berbeza bagi menentang saya,” ulasnya.
Lantaran itu, Naim turut mempersoalkan adakah tindakan seperti ini boleh diterima atau hanya mengikut nafsu amarah sahaja.
“Saya dilahirkan dengan kalimah Lailahaillallah ditelinga oleh orang tua saya. Dan semoga saya mati dalam kalimah agung ini kelak hendaknya.
“Jadi, terangkan kepada saya, apakah ini semua, yang baru dalam berapa dalam ribuan komentar yang saya dapat dalam masa dua hari ini, adalah halal atas dasar ‘boikot’?,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Naim Daniel