Persembahan Aina Abdul menerusi lagu Sumpah pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) mendapat kecaman dan kritikan meski ramai yang memuji.
Persembahan penyanyi terbabit yang seolah-olah memberi gambaran bunuh diri mendapat perhatian Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) memuat naik kenyataan berkenaan perkara itu di Facebook, sebentar tadi.
Menerusi kenyataan tersebut, pihak Miasa berpendapat persembahan menerusi lagu hasil ciptaan sepenuhnya dari penyanyi terbabit membawa mesej yang kurang tepat kepada penonton mengenai luahan kekecewaan sehingga mengambil keputusan untuk melakukan tindakan yang dilarang.
“Sangat mengejutkan. Apakah sudah tiada idea kreatif lain sehingga mendesak untuk melakukan persembahan yang berkonsepkan memudaratkan diri di pentas AJL tahun ini?
“Stesyen TV dan produksi sepatutnya sudah sedia maklum dengan larangan adengan sedemikian di media.
“Dalam persembahan tersebut, penyanyi tersebut yang berpakaian serba putih telah menikam dadanya sehinga darah membuak buak keluar membasahi pakaiannya. Skrin latar mempamerkan darah pekat yang mengalir.
“Ternyata persembahan seperti ini memberi mesej yang salah kepada penonton mengenai kekesalan kekecewaan dalam percintaan sehingga perlu menamatkan riwayat dengan menikam dada,” tulis status terbabit.
Aina yang berpakaian serba putih dilihat tiba-tiba bahagian dadanya seolah-olah darah keluar mengundang pelbagai reaksi netizen, menerusi persembahan secara langsung di AJL34 di Axita Arena, pada Ahad.
Dalam pada itu, pihak Miasa turut menegaskan persembahan tersebut melanggar garis panduan.
“Persembahan seperti ini jelas telah melanggar Guidelines For Media Reporting on Suicide yang melarang sebarang bentuk adegan membunuh diri dengan menunjukkan cara dan kaedah untuk menamatkan riwayat.
“Bagi individu yang memiliki masalah mental, adengan seperti ini boleh menyebabkan ia boleh menggangu pemikiran dan mungkin mendorong mereka untuk menamatkan riwayat.
“Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang kami ingin memohon masyarakat untuk membantu untuk membuat perlaporan kepada Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF),” ujarnya.
Sebelum ini, Miasa pernah mengecam muzik video Sumpah nyanyian Aina Abdul yang didakwa boleh memberi gambaran buruk terhadap penghidap masalah mental iaitu skizofrenia.
Foto: Instagram Aina Abdul, Facebook MIASA