“Apapun Kekasaran Ibu Lakukan, Syurga Tetap Pada Dia,”- Ajai Enggan Masuk Campur Hal Babitkan Nourul & Ayu

Share

Komposer terkenal, Ajai enggan mencampuri isu di antara bekas isterinya yang juga penyanyi, Nourul Depp bersama anak sulung hasil perkahwinan mereka sebelum ini iaitu Ayu Nazirah.

Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, dia menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah dalam perhubungan diantara ibu dan anak.

“Pada saya, perselisihan faham diantara ibu dan anak itu normal. Ia merupakan perkara peribadi melibatkan mereka. Saya selalu nasihatkan kepada Ayu, apa-apapun yang berlaku, itu merupakan ibu dia.

“Saya sentiasa menyokong apa sahaja yang Ayu ingin lakukan. Pada saya, Ayu sudah dewasa dan dia boleh berfikir sendiri tentang masa hadapan dia.

“Saya tiada masalah bila ada yang kata Ayu derhaka. Itu hanya tanggapan ibu kepada anak. Ia merupakan perkara biasa bila ibu bapa bergaduh dengan anak. Ada juga hari Ayu bergaduh dengan saya.

“Yang penting kita fikir yang terbaik untuk anak-anak. Saya tak salahkan Ayu dan juga ibunya,” katanya kepada MH.

Ajai berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media konsert Exists X Orchestra yang berlangsung di Tamu Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.

Jelas Ajai lagi, sebagai seorang bapa, dia akan sentiasa menasihati anaknya dalam setiap perkara yang ingin mereka dilakukan dalam hidup.

“Bila Ayu bergaduh dengan saya, dia pergi pada ibu dia. Begitu juga sebaliknya. Budak-budak begitulah. Ia hanya merupakan luahan sorang ibu.

“Mungkin Ayu ada bercakap sesuatu yang mengusik hati dia.

“Bila Ayu bergaduh dengan ibunya, saya juga yang kena pujuk hati dia. Itu anak kita dan saya tak mahu dia buat perkara yang bukan-bukan,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, penyanyi lagu Keliru ini tetap mahu anaknya itu metelakkan rasa hormat yang tinggi terhadap ibunya.

“Saya tidak akan masuk campur. Ayu tetap kena hormati ibu dia. Buruk atau baik, itu adalah ibu kamu.

“Macam mana pun kekasaran yang ibu kamu lakukan, syurga tetap pada dia. Kamu tetap juga kena minta maaf,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Ajai tetap percaya yang perselisihan faham ini tidak akan berlarutan terlalu lama.

“Saya rasa perkara ini akan berlaku sekejap sahaja. InsyaAllah bila masing-masing sudah sejuk hati, semuanya akan okay. Kita doakan yang terbaik.

“Seorang ibu yang merajuk, dia ada hak untuk bercakap mengenai anaknya,” akhirinya.

Baru-baru ini, menerusi beberapa hantaran di laman Instagram, Nourul seakan berkecil hati terhadap Ayu kerana berasa seperti dipinggirkan.

Malah, Nourul turut membangkitkan isu ‘ibu lain’ sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi daripada netizen.

Terdahulu, Ajai pernah mendirikan rumah tangga dengan Ajai pada 1996 sebelum bercerai pada 2006.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ayu Nazirah.

Pada 2012, Nourul berkahwin kali kedua dengan suaminya, Eric Daniel Depp yang berasal dari Perancis.

Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Zachary, Raphael, dan Isabella.
Kini, Nourul dan keluarganya sudah berpindah ke Bali, Indonesia dan menetap di negara jiran itu sejak September tahun lalu.

Manakala, Ajai pula kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Norliza Ilias pada 2009 dan dikurniakan seorang cahaga mata perempuan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf