Bahagia meniti kehidupan sebagai ibu kepada dua cahaya mata, Tya Arifin bertuah dengan kehadiran Azzahra Jiwa Asyraf 9 Mei lalu sebagai rahmat dalam hidupnya.
Malah sikap anak sulungnya, Arif Jiwa Asyraf yang sangat memahami cukup memudahkan tugasnya sebagai seorang ibu.
Ulas Tya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bugaboo Ant di The Gardens Kuala Lumpur, dia telah memupuk sifat penyayang dan ambil berat dalam diri Arif sedari Zahra di dalam kandungan.
Tegasnya lagi, dia turut melibatkan Arif dalam setiap keperluan Zahra agar dia tidak rasa tersisih dengan kehadiran insan baru dalam keluarga.
“Saya sangat bahagia dan sangat bersyukur dengan kehadiran anak kedua. Allah sangat baik dengan saya. Arif tidak cemburu dengan adiknya.
“Lagipun saya dah ajar Arif untuk menyayangi dan membantu bila baby perlukannya.
“Saya akan libatkan dia dalam soal penjagaan adiknya juga. Jadi bila Zara menangis, dia akan segera beritahu adik nak susu. Bila mandi pula, dia akan tolong ambilkan baju.
“Dia abang yang baik jadi tiada isu iri hati bila ada adik,” kata Tya kepada MH.
Tiada istilah tertekan menguruskan dua anak kecil, tambahnya, dia sudah punya persediaan mental dan fizikal dalam membesarkan Arif dan Zahra.
“Memanglah penat, kena bangun banyak kali. Saya pun sudah bersedia mental dan fizikal untuk jalani kembali rutin penjagaan bayi jadi tak ada soal cabaran. Saya laluinya dengan sangat gembira.
“Cuma waktu Arif dahulu, saya tak ada pengalaman jaga anak jadi agak susah. Namun bila yang kedua, semuanya berjalan lancar,
” jelasnya.Malah, dia bersyukur diberi kepercayaan sepenuhnya oleh suami dalam soal penjagaan anak-anak.
“Asyraf sangat percaya saya, jadi dia beri tanggung jawab kepada saya. Dan saya tidak kisah kerana memang saya suka,” katanya sambil ketawa.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 November 2015 dan menimang cahay mata pertama, Arif Jiwa Asyraf pada 31 Mac 2017.