Salah seorang anggota kumpulan BTS, Jungkook dilaporkan bakal membuat persembahan di acara pembukaan temasya Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar pada 20 November ini.
Pengumuman itu dibuat agensi pengurusan BTS, Big Hit Music yang menyatakan mereka turut berbangga apabila Jungkook dipilih untuk menjayakan salah satu acara sukan terbesar dunia itu.
“Kami berbangga untuk mengumumkan Jungkook adalah sebahagian penyanyi runut bunyi Piala Dunia FIFA Qatar dan akan membuat persembahan di acara pembukaan itu nanti. Nantikan!” kata kenyataan agensi tersebut.
Dengan pengumuman itu, peminat BTS yang dikenali sebagai Army turut teruja dengan pencapaian Jungkook yang disifatkan ia adalah salah satu momen paling besar dalam kerjayanya sebagai penyanyi dan pemuzik.
“Ini adalah satu momen besar untuknya. Jungkook baharu berusia 25 tahun dan sudah mempunyai prestasi terbaik tampil dalam acara pembukaan sukan terbesar dunia.
“Jungkook akan buat persembahan di acara pembukaan Piala Dunia Qatar! Kami sangat bangga dengan pencapaian anda!” tulis peminat Jungkook.
Selain Jungkook, Shakira dan kumpulan Black Eyed Peas turut dijadual akan menghiburkan penonton dalam upacara pembukaan tersebut.
Serentak dengan pembukaan tersebut, perlawanan pertama akan menyaksikan tuan rumah, Qatar menentang Ecuador pada Ahad depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.