Pramugari yang pernah popular menerusi lagu Ahmad, Arrora Salwa sanggup mengambil cuti empat bulan tanpa gaji semata-mata mahu menyertai program realiti, Gegar Vaganza 11 (GV11).
Menurut Arrora, rezeki berpihak kepadanya untuk sama-sama bersaing bersama 13 bintang lain tahun ini selepas dipelawa buat kali pertama untuk sertai program ini dua tahun lalu
“Saya pernah dapat tawaran untuk menyertai GV sejak 2022. Bagaimanapun saya menolak dengan cara baik memandangkan ketika itu kembali bertugas sebagai pramugari sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya mula berfikir sama ada nak kembali ikuti latihan kru penerbangan atau sertai GV. Saya siap buat solat sunat Istikharah, dan saya teruskan kerjaya di awan biru terlebih dulu.
“Saya beritahu kepada produksi, terpaksa tolak namun sekiranya ada rezeki ditawarkan lagi selepas ini, insyaAllah saya akan terima,” katanya.
Arrora berkata demikian ketika ditemui sejurus Sidang Media GV11 di Kuala Lumpur, pada Rabu.
“Nak dijadikan cerita, mereka panggil lagi tahun ini dan sekarang saya sudah berstatus pramugari tetap di Malaysia Airlines. Inilah peluang untuk saya dan saya ambil cuti panjang selama empat bulan.
“Jujurnya saya rindu untuk bertemu kembali dengan peminat dan rakan-rakan industri. Sebab saya dah lama tak muncul, buat persembahan.
“GV adalah satu pentas besar dan kebanyakan penyanyi lama mahu kembali bersaing. Jadi bila sudah dapat peluang, kenapa tidak untuk saya kembali aktif,” katanya yang kini mengikuti kelas vokal bersama penyanyi Idayu.
Berkongsi mengenai ‘glam team’ yang bakal menata rias dirinya sepanjang pertandingan, Arrora bersyukur kerana dia mempunyai pasukan terbaik.
“Kalau dulu saya ibarat ‘sedih menangis di bucu katil’, kali ini saya bersama beberapa individu yang akan memastikan saya tampak baik di atas pentas GV.
“Saya nak kembali jenamakan nama saya, tebus apa yang saya tak sempat lakukan sebelum ini. Dulu kesempatan itu hilang, jadi sudah tiba masa untuk saya dapatkan balik.
“Namun tidaklah terlalu berhabis, untuk persembahan mingguan, kos saya hampir RM2,000 sahaja. Alhamdulillah, saya tak sangka ramai rakan industri yang masih mengenali dan ingin bersama-sama menyokong saya,” katanya lagi.
GV11 akan berlangsung selama 12 minggu ini, dikendalikan oleh pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse bermula pada 24 November dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
Rancangan ini juga akan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang fleksibel.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini