Hiburan

“Artis Atau Bukan, Majikan Kena Jaga Kebajikan,” – Jangan Tertinggal Satu Pun! Tomok Utamakan Hak Pekerja

Share

Penyanyi dan usahawan, Tomok menegaskan soal kebajikan pekerja merupakan perkara utama yang harus dititikberatkan buat semua majikan tidak kiralah dari kalangan artis mahupun orang biasa.

Menurut Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, sebagai pemilik beberapa jenama francais makanan dan minuman (F&B), dia dan isteri akan berusaha sebaik mungkin untuk menjaga hak pekerja.

“Saya punyai beberapa francais bisnes makanan dan minuman (f&b). Soal pekerja pula, banyak diuruskan oleh isteri tapi saya tetap ambil tahu.

“Saya pula banyak menguruskan mengenai promosi, keadaan kedai dan macam-macam lagi.

“Mengenai kebajikan, kita memang menjaga pekerja kita sebaik mungkin. Pada saya, semua orang kena menjaga kebajikan pekerja tidak kira sama ada majikan itu artis atau tidak,” katanya kepada MH.

Penyangi lagu Meraung itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Tomok & Siti Nordiana ‘Memori Mungkin Berulang’ yang berlangsung di The Majapahit, Kuala Lumpur pada Rabu.

Katanya lagi, sepanjang hampir lapan tahun menceburi bidang bisnes, dia tidak pernah berdepan masalah tunggakan gaji mahupun caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerja.

“Segala perkara asas kami sediakan buat semua pekerja dan tiada seorang pun yang tertinggal.

“Ini merupakan tanggungjawab majikan. Alhamdulillah, bagi pihak saya, saya tak pernah berdepan dengan sebarang masalah melibatkan kebajikan pekerja,” ujarnya lagi.

Ditanya adakah sukar buat golongan selebriti untuk mengimbangkan soal kerjaya seni dan bisnes, Tomok menyifatkan setiap pekerjaan itu mempunyai cabaran tersendiri.

“Pada saya, bidang bisnes dan seni ini punyai cabaran yang tersendiri. Segala jenis pekerjaan pun ada cabarannya.

“Kalau f&b, kita perlu menjaga kualiti makanan dan minuman, servis, masa dan macam-macam lagi.

“Kalau dari segi nyanyian, kita juga harus menjaga kualiti suara dan persembahan. Kedua-dua pekerjaan ini sama sahaja penatnya,” katanya lagi.

Pada masa sama, Tomok mendedahkan namanya tidak terkena tempias susulan tular kisah melibatkan beberapa artis yang didakwa culas dalam soal kebajikan pekerja.

“Buat masa ini, saya tidak pernah kena tempias. Saya tak tahu pula mengenai rakan-rakan artis yang lain.

“Apapun, saya akan sentiasa mencuba untuk berikan yang terbaik buat pekerja,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf