Hiburan

Artis Kita Dikritik Buat Persembahan Teruk Di Luar Negara? Reaksi Masdo – “Orang Akan Cepat Lembut Hati Bila Lihat Kita Ada Peningkatan.”

Share

Sering mendapat undangan untuk membuat persembahan di luar negara, Kugiran Masdo menyifatkan tanggungjawab membawa nama Malaysia sebagai amanah yang besar.

Bagi vokalisnya iaitu Ali Sariah, setiap artis yang membuat persembahan di negara luar disaran untuk menjaga kualiti persembahan, agar industri seni di Malaysia tidak dipandang sebelah mata.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Buat yang menonton, perkara yang baik itu kita ambil.

“Yang buruk, kita jauhkan,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media konsert One Love Music Festival di Kuala Lumpur pada Rabu.

Bagaimanapun, Ali menganggap kesilapan ketika membuat persembahan lebih-lebih lagi secara langsung sebagai lumrah anak seni.

Namun, jadikan itu sebagai ruang untuk belajar agar dapat memberikan yang lebih baik selepas ini.

“Kami juga pernah berada di fasa itu. Jadi, kami faham apa yang berlaku. Sedikit sebanyak ia akan mencalarkan reputasi tapi kita kena kuatkan semangat.

“Jadikan pengalaman ini sebagai satu sebab untuk kita jadi lebih baik dan perbaiki kesilapan. Orang ramai akan cepat lembut hati bila melihat kita ada peningkatan.

“Takkanlah sebab satu benda buruk, orang lupa semua perkara baik yang pernah kita buat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pemain gitar utama Kugiran Masdo, Asmawi pula berharap agar para penonton tidak terlalu cepat menghukum sebaliknya memberi ruang buat artis untuk memperbaiki kesilapan.

“Tanggungjawab sebagi penggiat seni dan menghiburkan orang ini memang berat. Dalam seratus persembahan yang kita buat, tak semuanya akan sempurna.

“Mungkin 99 buah persembahan kita sempurna tapi satu persembahan yang kurang menjadi. Namun, satu kesilapan itulah yang orang ingat.

“Orang luar pun kena faham susah payah kita nak menghiburkan orang. Mereka nak kita terlihat sempurna sentiasa tapi kita tetap manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Ali akui perasaan gugup tidak dapat dielakkan walau sudah bertahun-tahun membuat persembahan.

“Kita kena betul-betul bersedia. Ada kalanya kita memang sudah bersedia tapi keadaan yang membuatkan kita rasa gugup. Orang yang berada di atas pentas, perasaannya memang lain.

“Kadang-kadang bila ada aura yang tak best, keyakinan kita terus jatuh. Kita jadi gugup dan takut. Hal itu yang buatkan emosi kita terganggu dan menjejaskan persembahan,” akhirinya.

Sementara itu, Kugiran Masdo menjadi antara band yang akan membuat persembahan di acara One Love Music Festival yang dijadualkan berlangsung pada 21 Disember ini Dewan A, MAEPS, Serdang.

Selain Kugiran Masdo, antara barisan artis yang akan membuat persembahan adalah seperti Hujan, Bunkface, Insomniac, Gerhana Ska Cinta, Drama Band dan 53 Universe.

Malah, acara muzik besar-besaran ini juga bakal menampilkan persembahan daripada penyanyi-penyanyi popular Indonesia seperti Feby Putri, Nadin Amizah, Nabila Taqiyyah dan Salma Salsabil.

Tiket kini sudah mula dijual pada harga RM55 (Early Bird/Berdiri), RM150 (General Admission), RM169 (Rockzone) dan RM450 untuk pakej meet & greet (terhad kepada 50 peminat).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf