Penyanyi senior, Ramlah Ram berkongsi detik hatinya istiqamah seterusnya terbuka hati untuk mengenakan hijab lebih 10 tahun lalu.
Jelasnya Ramlah, sebagai selebriti yang telah lama terlibat dalam seni, dia lebih terdedah kepada pandangan orang ramai.
Malah, bintang yang sinonim menerusi lagu Selamat Jalan Romeo ini juga menambah, pada fikirannya mungkin amalan yang dicatatkan di bahu kirinya itu lebih hebat berbanding individu lain.
“Sewaktu pasang niat mahu berhijab, saya fikirkan sebagai selebriti berapa ramai manusia yang telah melihat aurat saya jika dibandingkan dengan orang lain.
“Saya tahu, ramai juga artis yang risau, bila berhijab tawaran mungkin kian berkurang, namun saya berpegang pada satu, rezeki itu hanya Allah yang pegang.
“Jadi, kenapa saya perlu takut bila membuat perkara baik. Ketika itu saya tekad dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” jelas Ramlah yang turut mengakui, perkara ini juga terletak kepada pandangan masing-masing.
Pada masa sama, pemergian bapa tercinta turut menyebabkan dia nekad untuk terus berhijrah menutup aurat.
“Apabila arwah bapa meninggal, terus saya nekad untuk terus berhijab. Saya buat keputusan secara spontan dan tidak pernah buat pengumuman rasmi.
“Biarlah apa yang saya usahakan ini, diberkati dan biarlah Dia yang menghakimi. Kita manusia yang tidak sempurna.
“Doakan yang baik-baik buat semua, insyaAllah,” kata Ramlah.
Dalam perkembangan lain, penyanyi asal Johor ini telah melancarkan single berjudul Masar Cinta.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI