“Arwah Seorang Penyayang & Kasih Sayang Dia Saya Boleh Rasakan Sampai Sekarang,” – Memori Tak Kan Dilupa Tok Ti Buat Arwah Pak Ngah

Share

 

Tanggal 25 September 2018 merupakan tarikh mendukacita buat dunia hiburan tempatan apabila kehilangan figura ikonik irama tradisional Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih mesra disapa Pak Ngah. 

Bagi memperingati jasa dan alunan muzik insan seni itu, konsert ‘Karya Agung Pak Ngah Bersama Orkestra Tradisional Malaysia Dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza akan diadakan pada 14 dan 15 November ini di Istana Budaya.

Bakal mempersembahkan tujuh buah lagu karya Allahyarham Pak Ngah, bintang yang mesra disapa Tokti pastinya menyimpan 1001 memori bersama saat bergandingan bahu melebarkan hasil penciptaan lagu-lagu berirama tradisional. 

“Arwah (Pak Ngah) memang suka bergurau. Walaupun dengar macam kasar, tapi siapa yang boleh terima, terima sahajalah.

“Lama-kelamaan, saya faham dan terima cara arwah bergurau. Momen itu menjadikan satu kenangan bagi saya sampai sekarang.

“Seperti saya, ketika itu masih pelajar sekolah, terkejut dan tergamam juga pada mulanya,” kata TokTi kepada MH.

Terdahulu, penyanyi Cindai ini ditemui di sidang media Karya Agung Pak Ngah Bersama Orkestra Tradisional Malaysia Dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza pada Khamis. 

Membuka kisah pada awal kerjayanya, penyanyi lagu Anta Permana ini terkenang akan situasi bersama arwah. 

“Permulaan selepas memenangi sebuah program di stesen TV, saya perlu menyanyikan lagu orang lain dan ketika itu arwah mengatur susunan muzik dan rakam lagu di studionya. 

“Jadi, saya ke sana dan ketika itu ada ramai artis senior. Saya merupakan orang terakhir dan arwah mahu lihat bakat saya menyanyi dan saya teruskan,” kongsi Tokti tersenyum mengimbau memori bersama. 

Memuji keperibadian arwah seorang yang penuh dengan kasih sayang, Tokti mengabadikan setiap kenangannya sehingga kini. 

“Pak Ngah sudah macam keluarga sendiri. Kami sama-sama lalui kesusahan sewaktu mahu menjadikan konsert pertama saya dan ketika itu dia jadi pengarah persembahan. 

“Saya duduk rumah Mak Ngah (isteri arwah), makan bersama dan gelak ketawa bersama. Jadi arwah seorang yang penyanyang dan kasih sayang dia saya boleh rasakan samapi sekarang,” jujur Tokti yang mengangkat nama arwah sebagai seorang yang sangat memberi insiprasi kepadanya. 

Meksi padat dengan jadual harian, namun Tokti tetap mahu meneruskan konsert ini.

“Pelbagai cabaran untuk mengadakan konsert ini kerana jadual saya yang sangat padat, selain masalah kesihatan saya yang kurang mengizinkan. 

“Tapi dengan izin Allah, jadi saya terlibat dalam konsert ini. Alhamdulillah,” akurnya.

 Konsert tersebut bakal digandingkan bersama barisan penyanyi yang bersuara lantang seperti Ernie Zakri, Syamel, Asmidar dan Rojer. 

Harga tiket boleh dibeli melalui www.ariasiaredtix.com bermula dari harga RM86, RM116, RM236, RM 276, RM366,RM446 dan RM556.

Published by
Amynur Akmal