Berita

Asbab Muliakan Keluarga Rezeki Murah & Berkat, Kak Nona Selesa Kerja Dengan Adik-Beradik – “Sejak Kecil Mak Ayah Besarkan Kami Penuh Kasih Sayang.”

Share

Kakak kepada usahawan sensasi, Kak KM iaitu Rose Azlin Rosli yang juga pengasas bersama syarikat pengurusan acara RAR Sky Sdn Bhd bersama suami, Iskandar Ali tidak menafikan keluarga menjadi tulang belakang terhadap setiap perkara yang dilakukan.

Rose Azlin yang mesra disapa sebagai Kak Nona berkata, asbab memuliakan keluarga, dia percaya rezeki mereka sekeluarga akan lebih murah dan diberkatiNya.

“Memang saya dan suami akan fikirkan keluarga terlebih dahulu. Mereka nombor satu sebab kita berbahagi rezeki dengan mereka, terutamanya Kak KM. Kami bertahun-tahun bersama kejar impian dengan berniaga.

“Malah kalau dalam mana-mana acara yang kami anjurkan, rasa tak berseri kalau tiada dia. Macam mana sekali pun, akan cuba untuk selitkan Kak KM. Malah rasa lebih selesa bila buat kerja sesama adik beradik.

“Sebab kita sudah tahu apa kepakaran masing-masing. Misalnya kalau ada anak buah yang boleh buat fotografi, kita panggil dan tawarkan kerja kepadanya terlebih dahulu.

“Untuk jaga booth kedai pula, kita ada anak-anak yang akan tolong jaga, sepupu-sepapat atau anak buah. Kemudian, barulah kita tawarkan kepada orang luar pula.

“Sebabnya, kami nak ahli keluarga lain belajar dan tahu bukan mudah untuk cari duit. Kadang ada anak-anak orang senang ni, celik mata saja dah nampak duit depan mata.

“Mereka tak tahu bagaimana usaha susah senang kita dalam cari rezeki. Jadi kena belajar dan bermula dari bawah. Mungkin orang nampak kita sudah okay, tapi ramai tak tahu fasa merangkak yang dilalui,” katanya.

Kak Nona berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Festival Kampung Tradisi di SUK Selangor, Shah Alam, pada Isnin.

Acara anjuran Adikara dan RAR Sky Sdn Bhd itu bakal dilangsungkan selama empat hari bermula 12 Disember depan di Dataran Pantai Morib.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Yang Berhormat Datuk Rizam Ismail.

Kak Nona pada masa sama akui dia dan adik beradik juga belajar untuk saling menyangi sejak kecil, lebih-lebih lagi apabila melihat hubungan kasih sayang yang akrab antara ibu dan arwah bapa.

“Sejak kecil mak dan ayah besarkan kami penuh kasih sayang. Kami nampak mak selalu baring atas riba ayah. Malah mak sendiri tak pernah bercakap kasar dengan anak-anak.

“Kami sangat menghormati kedua orang tua kami dan saling berpelukan bila berjumpa. Malah kami sendiri terapkan pada anak-anak kami agar hubungan adik beradik tidak boleh putus dan sentiasa menyayangi antara satu dan lain” katanya lagi. 

Sementara itu, Festival Kampung Tradisi bakal berlangsung dengan pelbagai aktiviti menarik yang mengetengahkan kekayaan budaya dan tradisi Melayu serta warisan rakyat Malaysia selama empat hari di Dataran Pantai Morib, Selangor.

“Festival ini bertujuan untuk memperkenalkan dan menghidupkan semula budaya tradisional yang sudah menjadi sebahagian daripada identiti negara.

“Pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan tradisi, permainan rakyat, makanan kampung dari perkampungan Mat Kilau, dan persembahan seni sepanjang festival ini,” katanya lagi.

Selain para peniaga tempatan, kehadiran barisan artis yang turut sama berniaga pasti akan menambahkan kemeriah acara apabila ada di antara mereka juga bakal membuat persembahan.

Antara selebriti terlibat ialah Aan Ways, Azan Scan, Kak KM, Keena Mentor, Rina Eva, Jibam Ramlee, Elly Xceed, Syura Badron, Ahmad Yasin dan Kumpulan Kristal.

Kak KM juga akan sama-sama turun padang berniaga di samping ibunya, pelakon legenda, Normah Damanhuri yang bakal berniaga Nasi Lemak Mantan dan barisan juadah bubur manis.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

@mediahiburanofficial Mengasyikkan betul… Penampilan Keena Mentor & Wan Jibam yang sampaikan lagu klasik malar segar di Majlis Pelancaran Festival Kampung Tradisi, pada Isnin #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
MH