Penyanyi Ashira Aziz mengharapkan sinar bintangnya dalam industri seni tempatan tidak terus padam selepas kembali aktif sejurus menyertai Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7), tahun lalu.
Menurut Ashira atau nama Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz,36, dia juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi menerbitkan single terbaharu buat dirinya.
“Saya tidak kisah, asal boleh bekerjasama dan saya bersedia. Kita boleh adakan perbincangan.
“Saya juga bersedia menerima apa saja undangan nyanyian atau persembahan serta program dalam usaha mencari rezeki,” katanya.
Popular dengan lagu Di Ombak Resah, dia tidak menolak sekiranya ada tawaran yang mahu menggandingkan dia dan suami, selain turut terbuka sekiranya ada tawaran lakonan yang bersesuaian selepas ini.
Diminta mengulas mengenai penampilannya yang kini sopan berhijab, Ashira akui dia kian tenang dan selesa dengan dengan imej yang dibawa.
“Alhamdulillah semakin serasi dan doakan saya terus menjadi lebih baik dari hari ke hari,” katanya lagi.
Selain Di Ombak Resah, Ashira turut tampil dengan beberapa single lain antaranya Jatuh Cinta, Selamanya Takkan Berakhir dan Buat Insan Tersayang, duet bersama Eddie Hamid.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.