Selepas pemergian suami tercinta yang juga merupakan aktor asal Malaysia, Ashraf Sinclair, penyanyi dan pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari akui banyak perkara yang harus dipertimbangkan sebelum memutuskan untuk membuka hatinya kembali.
Menurut Bunga, mereka yang ingin mendekatinya harus menerima hakikat bahawa Allahyarham Ashraf akan sentiasa berada ditempat paling istimewa di dalam hatinya.
“Bercakap tentang menjalinkan hubungan baru, pertama sekali, individu tersebut harus terima yang Ashraf akan sentiasa bertahta di hati saya sampai bila-bila.
“Kena terima hakikat itu dahulu. Kalau boleh faham, barulah mereka boleh mencuba berkawan dengan saya. Kadang-kadang sesetengah lelaki susah untuk menerima hal ini,” katanya kepada MH.
Bagaimanapun, ibu kepada seorang cahaya mata ini mendedahkan dirinya tidak menolak dan tetap terbuka untuk berkenalan dengan orang-orang baharu.
“Sama ada membuka hati atau tidak, itu bergantung bagaimana cara mereka mendekati saya. Kita boleh bermula sebagai kawan dan cuba mencari keserasian. Kemudian, barulah kita tahu sama ada sesuai atau tidak.
“Tetapi perasaannya tidak akan pernah sama seperti dulu. Saya bukannya mencari pengganti. Tidak akan ada yang boleh menggantikan Ashraf.
“Namun, saya terbuka mencari kawan untuk bercakap. Selepas pemergian arwah, lapan bulan saya tidak bercakap dengan sesiapa. Sekarang saya banyak luangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakan.
“Saya juga tidak memaksa diri untuk bertemu dengan orang baru dan saya juga tidak memaksa diri untuk tidak bertemu dengan seseorang. Saya hanya jalani hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT,” kongsinya lagi.
Bunga atau lebih mesra disapa BCL berkata sedemikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Blossom Bunga Citra Lestari pada Rabu.
Katanya lagi, dia kini hanya mahu menjalani hidup seperti yang telah diaturkan oleh Allah SWT.
“Mencari pasangan ketika masih bujang dan selepas kehilangan suami memang sangat berbeza. Prosesnya panjang dan tak semudah seperti mencari pasangan ketika umur saya 20 tahun.
“Usia saya dah meningkat dan punyai anak. Banyak perkara yang harus dipertimbangkan terutamanya keluarga saya dan Ashraf.
“Kalau ada yang bersedia untuk berhadapan dengan semua hal-hal ini, barulah saya serahkan segalanya kepada takdir,” akhirinya.
Terdahulu, Bunga telah mendirikan rumah tangga bersama Ashraf pada tanggal 8 November 2008.
Hasil perkongsian hidup ters pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Noah Sinclair.
Bagaimanapun, Ashraf telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.