Memberi keterangan dalam kes Hollywood Ripper sebagai saksi di mahkamah hari ini, pelakan dan hos Ashton Kutcher mengakui dia ketakutan selepas mengetahui teman wanita yang sepatutnya ditemui pada malam 22 Februari 2001 mati dibunuh, 18 tahun lalu.

Kutcher yang kini berusia 41 menerusi laporan dipetik sebagai berkata, dia tiba di kediaman wanita berkenaan yang dikenali sebagai Ashley Ellerin iaitu seorang pelajar fesyen selepas berbual dengannya menerusi telefon untuk mengatur janji temu.

Kongsinya lagi seperti yang dipetik CNN lagi, selepas menyedari terlewat dari temu janji, dia segera ke rumah wanita terbabit sekitar jam 10.00 malam dan menelefon Ellerin, namun tiada balasan.

Kutcher tiba sekitar jam 10.30 malam dan melihat pintu pagar keselamatan terbuka dan dia terus meluru masuk.

Dia bertindak sedemikian kerana pintu telah diketuk, tetapi tiada jawapan.

Tambah pelakon ini lagi, dia mengandaikan bahawa wanita itu telah keluar bersama teman yang lain.

“Saya rasa pelik kerana semua lampu terbuka. Saya tidak mahu menjadi lelaki yang mengintai menerusi tingkap.

“Keadaan rumah agak bersepah dan saya ternampak sesuatu di atas karpet dan fikirkan mungkin ia adalah wain merah,” katanya memberi keterangan di hadapan juri.

Selepas mengetahui apa yang berlaku, dia segera menelefon pihak polis dan mengakui ketakutan.

Walau bagaimanapun, Kutcher tidak didakwa sebagai suspek. Sebaliknya dipanggil sebagai salah seorang saksi.

Terdahulu, Ellerin ditemui mati dengan kesan tikaman sebanyak 47 kali.

Seorang lelaki, Michael Gargiulo didakwa atas pertuduhan membunuh Ellerin dan juga beberapa mangsa lain.

Kes ini pernah dibicarakan pada 2008 lalu, namun Gargiulo mengaku tidak bersalah. Jika disabitkan kesalahan, dia bakal menerima hukuman penjara paling maksimum tanpa parol.

Foto : CNN