Astro Radio yang meraikan ulang tahun ke-25 tampil menyegarkan aplikasi SYOK dan memacu perjalanan trasformasinya ke hadapan.
Bermula 1 November 2021, rakyat Malaysia boleh menantikan lebih 60 stesen baharu dalam talian, menawarkan pelbagai jenis dan kompilasi muzik.
Malah, saluran berita Bahasa Cina baharu ‘YOU-NEIRONG’, untuk berita terkini dan hal ehwal semasa akan bermula Januari 2022 juga akan ke udara.
Stesen baharu di SYOK membolehkan pengguna untuk strim genre dan kategori muzik kegemaran mereka merentasi bahasa termasuk balada, klasik, muzik akustik, muzik tarian, muzik senaman, K-pop, hip-hop, kegemaran di tahun 70an, 80an dan 90an, rock,
Jiwang, Cintan, Nasyid, Arab, lagu-lagu Bollywood, Irama Malaysia, Dangdut dan banyak lagi.60 stesen baharu dalam talian ini akan tersedia tambahan kepada semua jenama Astro Radio di udara dan di TV termasuk ERA, MY, HITZ, RAAGA, SINAR, GEGAR, ZAYAN, MELODY, GOXUAN, MIX, LITE dan banyak lagi; menjadikan Astro Radio dan SYOK pertama di Malaysia untuk melancarkan stesen radio baharu dalam talian dengan jumlah yang tinggi secara serentak.
Pada masa sama, pengguna juga boleh menikmati banyak ciri baharu yang menarik dan dinaik taraf seperti ‘mod gelap’ (dark mode); ciri ‘penggera’ (alarm) yang membolehkan pengguna menjadualkan stesen radio pilihan mereka untuk distrim secara automatik; saluran ‘video langsung’ (live video), memberikan pengguna kelebihan untuk berinteraksi dengan orang lain semasa sesi video langsung; manakala podcast – carian podcast yang dipertingkatkan berdasarkan kategori, membolehkan pengguna meneruskan penstriman di tempat mereka berhenti, mengatur podcast yang dimuat turun ke dalam simpanan, berkongsi di media sosial; dan banyak lagi.
Kenny Ong, Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio, berkata, pihaknya teruja memperkenalkan pilihan penstriman audio yang lebih relevan dengan kandungan yang disusun mengikut permintaan pendengar.
“Kepesatan perubahan dalam ruang digital terus memacu evolusi kami untuk menawarkan lebih banyak aliran muzik dalam talian yang memastikan jenama-jenama Astro Radio sentiasa relevan.
“Aplikasi baharu SYOK menawarkan pengalaman yang lebih khusus dengan 60 stesen radio baharu dalam talian baharu kami yang disesuaikan dengan lebih banyak gaya hidup dan pilihan. Kami berharap rakyat Malaysia menikmati pengalaman hiburan baharu ini di SYOK melalui aplikasi dan laman web,” katanya.
Astro Radio turut bekerjasama dengan TikTok untuk melancarkan tiga rancangan hujung minggu baharu ke udara dan di aplikasi SYOK, untuk meluaskan jangkauan dan mempromosikan silang pilihan (cross-promote) kandungan dan muzik yang lebih luas merentasi platform.
Pihaknya juga turut bekerjasama dengan beberapa jenama lain demi berinovasi seterusnya meningkatkan industri radio dan audio di negara ini
SYOK boleh dimuat naik menerusi Google Play, Apple App Store atau Huawei App Gallery selain melalui laman web rasminya.