Selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, pelakon dan usahawan, Mawar Rashid memaklumkan dirinya sudah berpisah dengan suami, Raf Yaakob.
Perkhabaran tersebut dikongsikan oleh Mawar atau nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid menerusi satu hantaran di ruangan Instagram Stories.
Menurut Mawar, meskipun sudah berpisah, dia dan Raf akan tetap berbaik dan fokus mereka ketika ini adalah untuk membesarkan anak-anak.
“Fokus utama kami ketika ini adalah untuk menyediakan sokongan terbaik dan kasih sayang yang anak-anak perlukan.
“Sama sama berjaya besarkan anak-anak adalah perkara yang paling penting dan hal itu yang akan kami usahakan,” tulisnya.
Pada masa sama, Mawar turut berharap agar semua pihak dapat menghormati keputusan tersebut.
“Kepada rakan dan pihak media, hanya ini kenyataan yang kami berdua akan berikan. Harap semua dapat menghormatinya.
“Kepada para pengikut kami di media sosial, kami berharap agar anda semua mendoakan yang baik-baik untuk kami. Jangan buat sebarang spekulasi atau sebarkan perkara tidak benar,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong mereka selama ini.
“Kami juga berat hati dan terkilan untuk berkongsi berita ini. Bagaimanapun, ini merupakan jalan terbaik buat kami.
“Terima kasih kerana sentiasa menyokong kami. Kata-kata yang baik amat kami hargai,” akhirinya.
Sekadar informasi, Raf dan Mawar telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 9 November 2017.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Raden Muhammad, Raden Seri Rosabella Cinta dan Raden Seri Riyanna Sayang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Mawar Rashid