Tindakan saman yang dibuat pelakon Puteri Sarah terhadap individu ketiga yang didakwa mengganggunya berhubung isu rumah tangga mendapat reaksi pelbagai netizen.
Tidak terkecuali, rakan artis turut meninggalkan komen susulan isu berkenaan.
Hos dan usahawan popular, Neelofa Mohd Noor misalnya, turut memberikan kata-kata semangat kepada rakan artisnya itu dalam menempuh ujian.
“Kita banyak berborak tentang perkara ini. Sampai satu tahap, saya dah tak tahu nak kongsi nasihat apa lagi sebab terlalu teruk pihak ketiga buli awak.
“Ketika itu orang ramai masih belum tahu lagi. Saya sendiri tak sanggup nak hadam, apa lagi awak yang kena laluinya.
“Memang awak seorang yang terlalu sabar dan kuat. Satu perkara yang membuatkan saya amat terkesan, dengan segala apa yang terjadi, awak sangatlah mahu menjaga rumah tangga, jaga aib suami awak. Awak banyak mengalah.
“Moga Allah gantikan segala kesakitan, kepedihan, setiap air mata awak yang mengalir kepada kebahagian yang berterusan. Amin,” tulis Neelofa.
Neelofa menitipkan kata-kata itu menerusi ruangan komen dalam entri video penjelasan yang dimuat naik Puteri Sarah di laman Instagramnya.
Ibu kepada dua cahaya mata kemudiannya membalas komen itu dengan berterima kasih kepada Neelofa kerana selama ini menjadi tempat dia meluahkan perasaan.
“Selama ini saya menangis dekat awak. Akhirnya… terima kasih kerana ajarkan saya segala doa-doa,” balas Sarah.
Terdahulu, Sarah telah memfailkan dua saman terhadap orang ketiga yang mengganggu rumah tangganya. Menurut Sarah, perkara itu telah berlarutan sejak empat tahun lalu.
Sarah berkahwin dengan pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Foto: Instagram Puteri Sarah Liyana