Hiburan

“Awak Tu Artis, Kalau Bukan…Orang Peduli Apa,” – Mas Idayu Tegur Badan Berisi, Ariff Bahran Tak Sentap!

Share

Penyanyi, Ariff Bahran tidak berasa hati dengan komen yang diberikan juri Famili Duo musim ke-3, Mas Idayu yang memintanya untuk menurunkan berat badan sekiranya mahu kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Menurut Ariff, apa yang diperkatakan oleh Mas Idayu adalah perkara benar dan berat badannya memang menaik dengan agak mendadak selepas mendirikan rumah tangga.

“Saya okay sahaja sebab memang jelas berat badan saya menaik. Orang ramai mula mengenali saya sejak badan saya masih kurus.

“Namun, bila saya kembali muncul di televisyen selepas mendirikan rumah tangga, ramai nampak yang saya agak berisi. Tiada apapun yang saya nak terasa,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Juara Dusta ini turut mendedahkan dia telah menurunkan berat hampir sembilan kilogram sebagai persediaan sebelum menyertai program Famili Duo 3.

“Pada awalnya, saya memang sudah menurunkan berat badan untuk bertanding di program ini. Alhamdulillah ia menunjukkan hasil walau sedikit.

“Saya berjaya menurunkan badan hampir sembilan kilogram dalam masa kurang dua bulan. Saya tak makan nasi dan aktif bermain sukan badminton.

“Doakan saya untuk terus turunkan berat badan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, selepas persembahan lagu Gajah Di Balik Batu ketika persembahan kedua di pentas akhir Famili Duo 3, Ajai meminta Ariff untuk menjaga berat badannya demi mendapatkan stamina ketika membuat persembahan.

“Ariff kena lari sikit bagi lemak-lemak itu hilang. Ia tak bagus untuk kesihatan . Sebab itu kamu menyanyi semput,” komen Ajai.

Sementara itu, Mas Idayu pula menambah, penampilan merupakan antara aspek yang paling penting sekiranya seseorang itu mahu bergelar anak seni.

“Masalahnya, awak adalah seorang artis. Kalau bukan artis, tak mengapa. Nak badan besar pun orang peduli apa.

“Namun, bila nak bertanding dan muncul di atas pentas, kena kecilkan sedikit apa yang kembang,” katanya.

Terdahulu, Ariff bersama sepupunya Haqiem Rusli terpaksa berpuas hati untuk sekadar meraih tempat ketiga di pentas akhir Famili Duo 3.

Tempat kedua jatuh kepada duo adik beradik Adira dan Emma manakala juara pula disandang oleh satu lagi duo adik beradik, Sharif dan Syaiful.

Ketika pusingan pertama, Ariff dan Haqiem berjaya menambat hati juri dengan persembahan sarat emosi menerusi lagu Beribu Sesalan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH