Berita

“Awalnya Saya Melabur RM1 Juta Dan…,” – Jamal Abdillah Bersebab Bakal Saman Syarikat Pelaburan

Share

Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah, 65, bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat pelaburan yang didakwa gagal membayar dividen selain memulangkan semula wang pelaburan kepadanya.

Jamal memberitahu dia juga sudah melantik peguam bagi menuntut hak yang sepatutnya.

“Sekarang ini saya sudah lantik peguam. Peguam pun sudah membuat semakan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan bukti telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Sebenarnya kes itu saya tak boleh hurai lanjut. Cuma apa yang boleh katakan ialah, saya ada buat pelaburan, tapi sebelum itu saya sudah periksa dekat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara. Memang ada syarikat itu.

“Awalnya saya melabur RM1 juta dan mendapat pulangan sebanyak 12 peratus setahun. Selepas itu saya masuk lagi RM1 juta jadi RM2 juta.

“Tempoh matang lima tahun tetapi malangnya tahun ketiga itu dia (syarikat pelaburan) sudah tidak bagi dah. Pelbagai alasan diberikan termasuk tidak dapat memberi pulangan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan wabak COVID-19),” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Azura itu difahamkan, syarikat berkenaan bukanlah ‘scammer’.

“Untuk keselamatan, saya pasang peguam untuk saman mereka. Bukan saya sahaja terkena, ramai juga pihak lain terlibat.

“Ini bukan scam sebab syarikat itu memang wujud dan masih berjalan. Sekarang semuanya dalam proses, pihak sana juga berhubung melalui peguam saya. Zaman sekarang ini mahu buat apa-apa kena berhati-hati,” dakwanya lagi.

Terdahulu, pada awal 2018, Jamal Abdillah diperkenalkan oleh seorang ejen kepada satu skim pelaburan dan dijanjikan pulangan 12 peratus setahun.

Antara 2018 sehingga 2020, Jamal membuat empat kali pelaburan dengan melaburkan sejumlah RM2 juta dalam syarikat berkenaan.

Namun, katanya, sehingga hari ini, syarikat pelaburan berkenaan gagal membuat pembayaran dividen bagi pendapatan tahunan secara menyeluruh dan secara langsung sudah melanggar perjanjian dan terma yang sudah dipersetujui.

Sebelum ini juga, Jamal menerima satu memo bertarikh 4 Januari 2023 yang dikeluarkan oleh syarikat pelaburan menyatakan sudah tiada keupayaan membayar pulangan sasaran tahunan pelaburan kerana keuntungan syarikat terjejas disebabkan penularan COVID-19.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH