Pertama kali memegang watak antagonis menerusi drama Camelia, pelakon Ain Edruce mahu penonton menilai bakatnya dari sisi lain dalam dirinya.
Sinonim dengan perwatakan yang ‘masuk air’ dan ‘gila-gila’, Ain akui agar sukar untuk menggalas karakter sebagai Marina.
Malah, Ain mendedahkan bahawa bapanya, Edruce Sabri ‘berat hati’ untuk melihat lakonannya di kaca TV.
“Sebenarnya ayah saya tak suka saya melakonkan watak tersebut kerana masyarakat akan melabelkan diri saya jahat seperti dalam drama tersebut.
“Malah, dia (ayah) tak sanggup tengok lakonan saya dalam drama tersebut kerana dia melihat pada diri saya yang sebenar, bukan pada karakter yang saya bawa dalam mana-mana naskah.
“Apabila dia lihat saya berlakon, dia sebut nama penuh saya, dia tak sebut nama karakter yang saya lakonkan, ibarat dia macam terbawa-bawa, ” kata Ain kepada MH ketika ditemui di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa sempena pengenalan 12 Finalis Hero Remaja 2020.
Pada masa sama, Ain menyifatkan bahawa sudah menjadi lumrah perasaan orang tua apabila melihat anak-anak berlakon depan lensa kamera.
“Saya faham niat ayah nak tengok anak dia berlakon, tetapi bukan watak antagonis kerana masyarakat akan label saya dengan karakter tersebut. Tetapi dalam masa sama, saya mengingatkan ayah bahawa ia adalah karakter semata-mata.
“Malah, ayah mahu lihat saya memegang watak baik-baik sahaja,” ujar Ain.
Akui menerima respon baik dari peminat terhadap lakonannya, Ain menanggap lakonan antagonisnya ‘menjadi’.
“Saya ada dapat mesej dari orang ramai mengenai karakter antagonis dalam drama tersebut dan melabelkan saya sedemikian (dalam karakter).
“Saya tak ambil hati, sebaliknya saya suka kerana orang ramai telah memberi respon terhadap lakonan saya.
“Jadi, boleh dikatakan lakonan saya menjadi dan orang nampak sisi lain saya kerana orang kenal saya sebagai seorang yang ‘masuk air’ dan ‘gila-‘gila’,” jelas Ain.
Dalam perkembangan lain, Ain menggalas tanggungjawab sebagai host program pencarian Hero Remaja 2020 yang akan bersiaran pada 27 Februari ini di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) jam 9 malam.
Program tersebut melibatkan 12 finalis terpilih dan akan dikuarantinkan hampir dua bulan bagi menjalani beberapa aktiviti.
Sementara itu, Scha Al-Yahya dan Datuk Hans Isaac merupakan juri tetap bagi program ini.