Rasanya ramai yang tahu tentang keakraban antara pelakon, Ayda Jebat dengan keluarga pengarah dan pelakon terkenal, Sheila Rusly.
Keakraban Ayda bersama keluarga Sheila itu memang dapat kita rasakan bahawa mereka sudah menganggap Ayda seperti sebahagian daripada keluarga mereka.
Sheila berkata, Ayda sememangnya rapat dengan keluarganya dan tiada istilah Ayda mengganggu set penggambaran seperti yang viral sebelum ini mengatakan yang kononnya kehadiran Ayda ke set membuatkan orang disekeliling berasa kurang selesa.
Menurut Sheila lagi Ayda sudah dianggap seperti anaknya sendiri dan dia tiada masalah sekirang Ayda ingin datang ke set penggambaran JS Picture pada bila-bila masa.
“AJ (Ayda Jebat) is like my daughter so dia boleh datang keluar masuk ke JS Picture tak ada masalah,” katanya kepada MH ketika bertemu di majlis sidang media DFKL 2018 pada Selasa lalu.
Katanya lagi, dia tidak kisah jika Ayda ingin datang ke set penggambaran kerana Ayda datang bukan untuk mengganggu proses penggambaran.
“Dia datang bukan kacau pun, dia datang dia borak dengan daddy dia, borak dengan sis dan perkara ini tak ada masalah sama sekali. AJ pun rapat dengan semua krew JS Picture,” katanya.
Dalam pada itu, kalau kita lihat bukan Ayda sahaja yang rapat dengan keluarga Sheila malah Janna Nick, Dayana Roza juga di antara yang rapat dengan keluarganya.
Sheila berkata ada juga artis-artis baru yang cuba untuk rapat dengannya namun dia tidak menganggap perkara itu sebagai satu perkara yang menjengkelkan tetapi ianya lebih kepada keserasian.
“Bukanlah saya ni memilih untuk siapa yang boleh atau tak boleh rapat dengan saya tapi pada saya keserasian yang membuatkan mereka rapat dengan saya.
“Chemistry yang buat saya dengan Janna sangat rapat dan dia pun ada bilik sendiri dalam rumah saya,” katanya.
Mungkin ada yang melihat Ayda seperti baru sahaja rapat dengan Sheila dan keluarganya namun pengarah terkenal ini berkata Ayda telah rapat dengannya sebelum Janna masuk ke JS Picture lagi.
“AJ pun sangat rapat dengan saya sebelum Janna masuk JS Picture lagi tapi at one time dia banyak dapat offer dengan stesen TV lain.
“Tapi lepas AJ masuk semula ke JS Picture untuk drama Dekatkan Jarak Kita tu lah yang memang kitorang rapat sangat-sangat sampai sekarang,” katanya lagi.