Ayda Jebat & Nabil Mahir Beli Banglo 3 Tingkat – “Rezeki Anak, Berkat Doa Ibu Bapa…”

Share

Bersempena dengan ulang tahun perkahwinan yang pertama, pasangan selebriti, Nabil Mahir dan Ayde Jebat telah membeli banglo tiga tingkat sebagai tanda ingatan menyambut hari bahagia.

Sambil menyatakan rasa syukur, Ayda menyifatkan kediaman baru yang dibeli sebagai rezeki anak.

“Alhamdulillah, bersempena ulang tahun perkahwinan pertama kami yang disambut 1 Januari lalu, kami berdua menghadiahkan kediaman ini kepada diri sendiri.

“Rezeki datang mencurah semenjak sebelum berkahwin. Selepas bekerja keras siang dan malam, kami berjaya membeli rumah yang diidamkan. Kami juga melihat ini sebagai rezeki anak kesayangan kami, Ana Nayla.

“Berkat doa ibu bapa kami, rakan-rakan serta peminat yang sentiasa menyokong, semuanya dipermudahkan. Syukur kepada Allah yang memberikan rezeki tidak putus-putus,” kata Ayda.

Penyanyi dan pelakon itu bagaimanapun memilih untuk tidak berkongsi mengenai harga kediaman berkenaan.

“Bercakap soal harga, biarlah kami simpan sendiri. Apa yang penting, segalanya berbaloi apabila melihat rumah sendiri tersergam indah di hadapan mata kami.

“Sebelum kahwin kami dihujani rezeki, selepas bernikah pun kerjaya berjalan seperti biasa. Kami tak putus bekerja biarpun pandemik melanda, sangat bersyukur kerana rezeki selalu ada.

“Rezeki anak juga membuatkan perjalanan kami mahu memiliki rumah ini menjadi lebih lancar. Sewaktu saya hamil pada tahun lalu, saya aktif menjalankan pelbagai kempen,” katanya lagi.

Terdahulu menerusi satu hantaran di Instagram, Ayda dan Nabil ada memuat naik momen yang dirakamkan di hadapan kediaman baharu mereka.

Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan mereka dikurniakan anak perempuan, Ana Nayla pada 21 September 2021.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH