Ayda Jebat Sah Hamil 4 Bulan, Dijangka Bersalin Oktober Depan

Share

Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat mengumumkan yang dirinya kini hamil empat bulan bersempena dengan keberkatan malam Nuzul Quran.

Berita gembira itu dimaklumkan Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 29, pada majlis Iftar Bersama Ayda Jebat yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Penyanyi lagu Parah Parah itu berkata, dia bersyukur atas rezeki yang dikurniakan.

“InsyaAllah, saya dijangka bersalin Oktober depan. Mohon semua mendoakan yang baik-baik. Majlis hari ini saya undang rakan media, klien serta sahabat terdekat untuk berkongsi berita gembira ini.

“Bukan tidak mahu dedahkan pada peringkat awalnya, tetapi saya dan suami sepakat untuk beritahu ketika usia kandungan memasuki bulan keempat.

“Terima kasih buat semua yang memahami. Semoga semuanya dipermudahkan, insyaAllah” katanya.

Ayda mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, pengacara Nabil Mahir pada 1 Januari lalu selepas mengadakan majlis pertunangan atas talian pada 28 April tahun sebelumnya kerana terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Published by
Aizam Manaf