Lincah dan aktif, itulah gambaran yang cukup sesuai buat pelakon bertubuh kecil ini. Ayda Jebat punyai auranya tersendiri mampu membuatkan ramai jatuh cinta terhadapnya.
Tidak mahu lepaskan peluang untuk berkongsi cerita pengalaman rayanya.
Gadis yang sering menggunakan hashtag #saiatakkuad dan #muahciked hanya mampu ketawa terlebih dahulu sebelum memulakan cerita.
“Dahulu semasa zaman kanak-kanak, saya ni jenis pemalu orangnya. Jadi untuk beraya dan mengumpul duit raya dari orang itu memang agak segan sikitlah.
“Lagi pula, dalam semua adik beradik saya yang paling dewasa jadi sayalah yang paling kurang dapat duit raya, ” katanya pada MH
Lumrah seorang kakak bila beraya, pasti dia akan disuruh untuk menjaga adik-adiknya terutamanya dalam bab menjaga duit.
“Pernah sekali tu, adik saya meminta saya untuk menyimpan duit raya miliknya. Dia tidak tahu, saya telah ‘menyimpan’ beberapa ratus duit miliknya dan akhirnya, lesap!”ceritanya pada MH sambil ketawa besar.
Dalam pada itu, Ayda juga ada mengatakan yang dia juga punyai pengalaman pahit sewaktu musim perayaan.
Ayda bersama adiknya Fina yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia ini pernah terbabas ketika menunggang motosikal di kampung.
“Pada ketika itu, kami pulang ke kampung di Melaka. Seperti biasa kalau berada di kampung memang kami teruja untuk menunggang motosikal milik bapa saudara. Suatu hari, adik saya Fina memberitahu bahawa dia tahu menunggang motosikal. Kami kemudiannya bersama-sama menaiki motor tersebut dan akhirnya terbabas.
“Rupa-rupanya dia langsung tidak tahu menunggang motor, tetapi mengambil kunci motor tersebut secara senyap-senyap,” cerita Ayda.
Walaupun tiada sebarang kecederaan serius berlaku, tetapi adiknya mengalami kesan lecur di bahagian kaki kerana terkena ekzos panas.
Katanya sambil ketawa, itu pengalaman yang tidak boleh dilupakan dan selepas itu dia dan adiknya dimarahi oleh keluarga dan serik untuk mengulanginya lagi.