Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham tidak menolak kemungkinan bakal melangsungkan perkahwinan bersama tunangnya, Tasha Awie pada tahun ini juga.
Menurut Ayie, segala perancangan tetap bergantung kepada situasi negara yang ketika ini sedang berperang dengan wabak pendemik Covid-19.
“InsyaAllah kami akan melangsungkannya dalam tahun ini juga. Mengikut perancangan kami, majlis akan diadakan pada bulan Oktober atau November depan.
“Apapun, ia tetap bergantung kepada situasi pendemik yang melanda negara ketika ini. Kalau keadaan mengizinkan, kami akan adakan majlis.
“Buat masa sekarang kami belum merancang apa-apa lagi mengenai soal majlis,” katanya kepada MH.
Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah berkata sedemikian sewaktu ditemui media di Konsert Digital Jelajah Suria baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ayie turut mendedahkan dia bersama tunangnya memilih untuk tidak terlalu memikirkan mengenai soal dugaan bertunang kerana beanggapan perkara tersebut hanya akan menjejaskan keharmonian hubungan mereka.
“Bercakap tentang dugaan ni, kalau kita terlalu fikirkan sangat, dia akan datang juga. Bagi saya dan tunang pula, kami dah cakap awal-awal yang kita tak perlu fikir pasal dugaan.
“Kami rasa kalau kami terlalu fikirkan sangat, dugaan itu akan datang sendiri. Buat masa sekarang, kami juga sedang fokus dengan bisnes kafe dan vendor di sebuah foodcourt milik anggota kumpulan Floor 88 juga.
“Kami tak nak fikir pasal dugaan sebab sesetengah orang selalu cakap dugaan bertunang ni berat. Jadi, kami kalau boleh nak elakkan daripada perkara tersebut,” jelasnya lagi.
Ketika ditanya adakah dia bimbang populariti Floor 88 dan dirinya akan merudum selepas berkahwin, ini reaksi balas yang disuarakan oleh penyanyi asal Sabah itu;
“InsyaAllah saya harap tidak akan jadilah perkara seperti itu. Saya harap mereka faham yang jodoh, pertemuan, ajal dan maut itu di tangan Allah..
“Mungkin ini jodoh saya dan kalau dipercepatkan Alhamdulillah. Saya harap anda semua dapat mendoakan kesejahteraan saya dan pasangan. Semoga apa yang kami rancang sama ada soal berkeluarga atau kerjaya, harapnya dapat dipermudahkan,” ujarnya.
Terdahulu, Ayie dan Tasha telah pun melangsungkan majlis pertunangan mereka pada tanggal 2 Januari lalu di sebuah premis acara di ibu negara.
Foto: Instagram Ayie Floor 88